Inspiring Quotes, Inspiration Quotes, Inspiring Sayings

Friday, May 3, 2013

Ulasan Artikel 3: Peranan Kepimpinan Guru Mempengaruhi Keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah Dalam Iklim Bilik Darjah


Ulasan Artikel 3: Peranan Kepimpinan Guru Mempengaruhi Keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah Dalam Iklim Bilik Darjah oleh Kamarol Baharen Mohd Rom dan Johan@Eddy Luaran. Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi MARA.

Pendahuluan
Kajian ni berkisar kepada peranan kepimpinan guru di dalam mempengaruhi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran sejarah dalam iklim bilik darjah. Artikel ini secara tidak langsung membincangkan peranan kepimpinan guru di dalam bilik darjah mempengaruhi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran sejarah. Selain itu, artikel ini membincangkan tentang faktor-faktor yang mempengaruhi iklim bilik darjah, membentuk agenda bilik darjah, kaedah pelaksanaan bilik darjah yang efektif serta halangan dan cabaran guru dalam mengimplikasikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

Isu Kajian
1. Menurut Crowther, (1997); Sashkin & Sashkin (1993), kebanyakan kajian dilakukan terhadap kepimpinan pengetua berbanding peranan kepimpinan guru di dalam bilik darjah. Menurut Banathy (1991), perubahan yang sistemik adalah segala perubahan yang berlaku pada sesuatu bahagian dalam satu sistem organisasi yang mempengaruhi keseluruhan keberkesanan sesebuah sekolah.

2. Guru mempunyai persepsi bahawa peranan kepimpinan guru terletak di bahu pengetua atau pentadbir sekolah. Guru beranggapan peranan mereka hanya mengajar pelajar mengikut sukatan pelajaran yang disediakan dan memastikan sukatan pelajaran yang diperuntukkan perlu dihabiskan mengikut jangka masa yang ditetapkan.

Dapatan Kajian
Berdasarkan beberapa definisi oleh pengkaji-pengkaji yang mengkaji tentang kepimpinan, secara kesimpulannya, kepimpinan adalah sebagai proses mempengaruhi kegiatan manusia yang berkaitan dengan tugas dan tanggungjawab mereka yang mana keterlibatan mereka adalah secara sukarela dan berusaha ke arah keberkesanan dan pencapaian matlamat organisasi. Namun demikian dalam perspektif pendidikan, kepimpinan dikaitkan dengan peranan kepimpinan guru di sekolah dan bilik darjah. Kajian ini juga membincangkan tentang pentingnya perkongsian bersama pihak pentadbir dengan guru-guru yang terlibat secara langsung untuk membuat keputusan berkaitan dalam program-program P & P di mana antaranya merangkumi penilaian guru dan  murid, iklim sekolah, kurikulum dan ko-kurikulum, sumber dan peralatan mengajar (ABM), kakitangan, kaedah membuat keputusan, matlamat pengajaran, sokongan komuniti, komunikasi dan interaksi antara pengetua dengan guru-guru.

Peranan kepimpinan guru lebih di dalam bilik darjah di mana guru diharapkan boleh membuat perubahan di dalam bilik darjah dengan melakukan inovasi dan kolaborasi ke arah pencapaian matlamat pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu berkebolehan merancang, memberi arahan, mengawal perjalanan proses dan membentuk strategi bagi mencapai matlamat yang ingin dicapai. Antara perkara penting yang boleh dilakukan oleh guru ialah membentuk agenda bilik darjah bagi membentuk iklim bilik darjah yang sihat untuk pembangunan akademik dan sosial murid-murid. Agenda bilik darjah yang disebut oleh Hook dan Vass (2000) adalah hak, tanggungjawab, peraturan dan rutin. Hak di dalam artikel ini merujuk kepada hak murid untuk belajar, hak guru untuk mengajar, hak setiap individu untuk keselamatan dari segi fizikal dan psikologi dan hak setiap individu untuk taraf penghormatan dan kemuliaan. Guru mendorong murid supaya bertanggungjawab ke arah perlakuan dan usaha diri untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan yang diingini. Pelajar ditekankan dengan kepentingan peraturan dan undang-undang sekolah. Di dalam bilik darjah, guru perlu menekankan peraturan yang perlu diikuti oleh pelajar.

Rumusan
Guru perlu melibatkan diri dalam aspek peranan kepimpinan guru di mana guru bertanggungjawab terhadap pengajaran dan pembelajaran pelajar di mana guru perlu mengadakan matlamat dan objektif  p & p, membimbing murid, membuat keputusan, mengelolakan aktiviti serta bekerja dengan guru lain agar matlamat  p & p tercapai. Guru harus bertindak termasuk merefleksi diri, cuba melaksanakan pembelajaran secara kolaboratif dan penyelesaian masalah bagi mewujudkan kepimpinan guru yang berkesan.

Thursday, May 2, 2013

Ulasan Artikel 2: Kepimpinan Pengetua, Iklim Sekolah dan Keberkesanan Pengajaran Merupakan Faktor Penting Bagi Mewujudkan Sekolah Berkesan Khususnya di Sabah


Ulasan 2: Kepimpinan Pengetua, Iklim Sekolah dan Keberkesanan Pengajaran Merupakan Faktor Penting Bagi Mewujudkan Sekolah Berkesan Khususnya di Sabah oleh Ruslin Ekon, Jabatan Ilmu Pendidikan.

Pendahuluan
Artikel ini berkisar kepada faktor-faktor yang mempengaruhi sebuah sekolah sebagai sekolah berkesan. Terdapat pelbagai definisi bagi sekolah berkesan ini. Menurut Abdul Shukor (1998), sekolah berkesan ialah sekolah yang berjaya menghasilkan pelajar yang berjaya dalam aspek akademik, pembangunan diri dan sahsiah dan kemahiran sosial, melalui pemupukan tradisi budaya dan watak sekolah itu sendiri. Dr Rahimah (1988) telah mentakrifkan sekolah berkesan sebagai sekolah yang berjaya memenuhi Falsafah Pendidikan Negara. Berdasarkan berbagai-bagai definisi sekolah berkesan, secara umumnya sekolah berkesan boleh didefinisikan sebagai sekolah yang berjaya mencapai matlamat dan objektif penubuhan sekolah sebagai institusi pendidikan.

Terdapat tiga faktor yang dibincangkan di dalam artikel ini bagi mewujudkan sekolah berkesan. Faktor-faktor berkenaan ialah kepimpinan pengetua, iklim sekolah dan keberkesanan pengajaran.

1. Kepimpinan pengetua
Dari segi faktor kepimpinan pengetua, di dapati bahawa kepimpinan pengetua memberikan impak kepada hasil dan kemenjadian pelajar. Pengetua diharapkan mengamalkan gaya kepimpinan yang berorientasikan tugasan dan manusia mengikut situasi yang tertentu. Pengetua perlu mengamalkan gaya kepimpinan demokratik di samping mempunyai personaliti unggul seperti mempunyai kemahiran dalam bidang kepengetuaan, kualiti kepimpinan pengajaran, tegas, bermotivasi, berwawasan, proaktif, mahir, mengutamakan pembangunan tenaga manusia serta menggalakkan inovasi bagi mempengaruhi organisasi sekolah yang dipimpinnya.

2. Iklim sekolah
Faktor seterusnya ialah iklim sekolah. Iklim sekolah yang baik wujud hasil dari sistem pentadbiran yang teratur, sistematik, adanya toleransi di kalangan kakitangan, dan wujud budaya berpasukan di sekolah. Selain itu wujudnya perhubungan yang saling hormat-menghormati antara guru dan pelajar, pengetua dengan guru  dan pelajar dengan pelajar. Iklim sekolah juga merangkumi kesukarelaan pelajar menerima aspirasi dan peraturan sekolah yang diaturkan oleh pihak pentadbir sekolah. Iklim sekolah yang baik dilihat juga dengan adanya perasaan kekitaan di kalangan murid-murid dan para guru dengan menganggap sekolah sebagai sebuah keluarga yang mesra dan bahagia. Selain itu, kebersihan, keindahan sekolah, keselesaan dan keselamatan di sekolah memberikan kesan kepada penghasilan sebuah sekolah berkesan.

3. Keberkesanan pengajaran
Faktor yang ketiga ialah dari segi keberkesanan pengajaran. Ini merangkumi pengajaran guru di dalam kelas di mana pelbagai kaedah pengajaran digunakan di samping alat bantu mengajar, serta pakar di dalam bidang masing-masing. Menurut Slavin (1978), empat faktor yang mempengaruhi pengajaran berkesan iaitu kualiti pengajaran, kesesuaian aras pengajaran, insentif dan masa. Pengajaran guru perlu menyeronokkan dan mudah difahami oleh pelajar serta pelajar diberikan masa untuk belajar. Guru perlu memberikan kesamarataan peluang tanpa mengira latar belakang pelajar berkenaan.

Kesimpulan
Bagi menghasilkan sebuah sekolah berkesan,  ketiga-tiga faktor yang dibincangkan di atas perlu di integrasikan bersama. Pengetua berperanan untuk memastikan guru-guru menyampaikan pengajaran yang berkesan di sekolah. Kepimpinan pengetua yang tegas, bermatlamat dan berwawasan  akan dapat mengubah sebuah sekolah kerana pengetua perlu menggerakkan semua ahli di dalam organisasi sekolah untuk melakukan perubahan di sekolah seterusnya membentuk sekolah berkesan.