Inspiring Quotes, Inspiration Quotes, Inspiring Sayings

Friday, April 26, 2013

Ulasan Artikel 1: Amalan Kepimpinan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di Malaysia oleh Jamilah Ahmad dan Yusoff Boon, Fakulti Pendidikan, UTM, Johor

Anda dikehendaki mengkritik 5 artikel yang dipilih dari segi kaedah penyelidikan,  objektif kajian, soalan kajian,  dapatan kajian & analisis kajian dan sebagainya.

Ulasan 1: Amalan Kepimpinan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di Malaysia oleh Jamilah Ahmad dan Yusoff Boon, Fakulti Pendidikan, UTM, Johor

Pendahuluan
Sekolah Berprestasi Tinggi merupakan sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti yang tersendiri dan unik serta menyerlah dari semua aspek pendidikan dan mampu berdaya saing di peringkat dunia. Kejayaan sesebuah sekolah terletak kepada keberkesanan seluruh sistem, nilai, kepercayaan, iklim, semangat dan budaya yang diamalkan oleh warga sekolah, di samping pengaruh pengetua untuk memacu kecemerlangan dan kejayaan sesebuah organisasi sekolah.
Artikel yang bertajuk Amalan Kepimpinan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di Malaysia telah ditulis oleh Jamilah Ahmad dan Yusoff Boon dari Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia, Johor. Artikel ini telah diterbitkan di dalam Journal of Edupress, pada September , 2011 volume 1. Artikel ini mengupas tentang kepimpinan pengetua di Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan kaedah-kaedah yang digunakan dalam kepimpinannya yang menyumbang kepada kecemerlangan sekolah.

Ulasan Kajian
Kajian di dalam jurnal ini bertujuan untuk mengenal pasti kepimpinan pengetua atau guru besar di Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan kaedah-kaedah yang digunakan dalam kepimpinannya yang menyumbang kepada kecemerlangan sekolah.

Kajian ini memfokuskan kepada kepimpinan sekolah di Malaysia dan secara khususnya kepada pemimpin sekolah di sekitar Johor. Objektif kajian yang ingin diketahui ialah mengenal pasti ciri-ciri dan amalan pengetua di dua buah SBT d Johor, mengenal pasti kaedah pengetua SBT membentuk visi dan strategi kepada peningkatan sekolah, mengenal pasti kaedah yang digunakan oleh pengetua SBT untuk membina hubungan dengan pihak dalaman dan luaran sekolah, mengetahui strategi yang digunakan oleh pengetua SBT dalam melaksanakan pembangunan profesional di sekolah, mengenal pasti kaedah yang digunakan oleh pengetua SBT dalam menstrukturkan organisasi yang menyokong kepada peningkatan kecemerlangan sekolah , mengenal pasti kaedah yang digunakan oleh pengetua SBT dalam mengurus program instruksional sekolah dan membentuk model kepimpinan SBT di Malaysia.
Kajian yang dijalankan berbentuk kualitatif yang melibatkan kajian kes dengan menggunakan soalan temu bual, pemerhatian, pemeriksaan dokumen-dokumen dan laporan di dua buah SBT. Dalam kajian ini, pemerhatian yang menyeluruh telah dijalankan ke atas seorang pengetua, seorang guru penolong kanan, 3 orang guru, seorang kakitangan sokongan,  dua orang pelajar, tiga orang ibu bapa yang merupakan AJK PIBG dan seorang pengerusi Persatuan Ibu Baba dan Guru (PIBG) bertujuan mendapatkan maklumat dari pelbagai perspektif dan menyumbang kepada dapatan tentang kepimpinan pengetua di sekolah yang dikaji.

Dapatan Kajian
Hasil kajian yang diperoleh adalah menepati kaedah kepimpinan yang dicadangkan oleh Leithwood et all (2007). Leithwood et all berpendapat bahawa sekolah yang berjaya dan berprestasi tinggi adalah sekolah yang menitikberatkan kepada orientasi proses dan orientasi pencapaian murid-murid serta pencapaian organisasi sekolah. Orientasi pencapaian murid bermaksud ialah penekanan kepada kejayaan pelajar-pelajar dan kemenjadiannya, manakala orientasi proses adalah kaedah-kaedah untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan sekolah dan pelajar seperti mempunyai visi yang jelas dan strategik, kepimpinan yang cemerlang, keadaan persekitaran yang positif, proses pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti dan berkesan,  pembangunan profesional, penglibatan semua pihak untuk membuat keputusan dan wujud hubungan serta kerjasama yang sihat dan kukuh dari semua pihak sama ada pihak dalaman yang terdiri dari guru-guru dan kakitangan sokongan serta pihak luaran yang terdiri dari ibu bapa dan komuniti setempat.

Isu dalam Kajian
Kepimpinan yang berjaya di kalangan pemimpin sekolah adalah kepimpinan Transformasional. Leithwood et all 2003, 2009. Kepimpinan ini menegaskan kepada kepentingan menentukan arah dan matlamat, membangunkan manusia, menstruktur organisasi dan menguruskan program instruksional.  Menurut Sergiovanni (2001), kepimpinan Transformasi memfokuskan kepada memenuhi keperluan orang bawahan dan membantu mereka mencapai potensi diri yang lebih tinggi di mana konsep kepimpinan ini mementingkan “empowerment” berkarisma, pemimpin dan guru-guru mempunyai ikatan intrinksik. Bagi peringkat penambahbaikan sekolah, kepimpinan Transformasi menggalakkan pengurusan diri dengan menukar setiap penambahbaikan di sekolah sebagai satu rutin. Memenuhi keperluan sekolah, sedia berkhidmat, menjaga nilai, dan menghubungkan manusia dengan struktur idea sebagai panduan untuk melaksanakan tugas

Penutup
Kejayaan sesebuah sekolah yang berjaya dan berprestasi tinggi diperoleh dengan usah-usaha berterusan oleh semua pihak termasuk pentadbir, guru-guru, kakitangan sokongan, pelajar, para ibu bapa dan pihak komuniti. Faktor kepimpinan pengetua adalah salah satu faktor utama yang mendorong kepada pencapaian yang cemerlang sesebuah sekolah.

Wednesday, April 24, 2013

Konsep Penambahbaikan Sekolah


Konsep Penambahbaikan Sekolah 
by Dr. Zuraidah Binti Abdullah . - Sunday, 24 March 2013, 8:43 AM

"If you put a frog in water and slowly heat it, the frog will eventually let itself be boiled to death. We too, will not  survive if we dont respond to the radical way in which the world is changing" Charles Handy...

Pernyataan ini menunjukkan jika kita tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku yang sentiasa  menekan diri sendiri, kita akan  mati. Ini menggambarkan keadaan di sekolah yang perlu menangani kehendak masyarakat.
Soalannya apakah perubahan pada hari ini yang memerlukan warga sekolah berubah? Adakah sekolah anda memastikan perkara ini berlaku sekiranya anda seorang pemimpin sekolah?
dan Apakah yang anda faham dengan sekolah berkesan dan penambahbaikan sekolah?

______________________________________________

Penambahbaikan sekolah dilihat sebagai salah satu pendekatan dalam melakukan perubahan dalam pendidikan melalui pelaksanaan objektif jangka panjang. Ianya juga didefinisikan sebagai pendekatan menghadapi perubahan pendidikan yang dapat meningkatkan prestasi pelajar dalam dan menguatkan kapasiti sekolah dalam mengendalikan perubahan. (Abdul Ghani Abdullah, Kepimpinan dan penambahbaikan Sekolah)
Di dalam konteks MRSM, penambahbaikan sekolah adalah perkara yang perlu dilakukan secara berterusan. MRSM secara umumnya menerima pelajar-pelajar yang mempunyai kebolehan di dalam bidang akademik dan seterusnya pelajar-pelajar ini diberikan kemahiran generik seperti kemahiran berfikir, kemahiran amalan belajar, ICT, keusahahawan dan sebagainya. Ini merupakan antara usaha bagi melahirkan pelajar yang seimbang dari jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial mengikut Falsafah Pendidikan Kebangsaan. 
 Salah satu penambahbahbaikan yang telah pun dilaksanakan di MRSM Tun Ghafar Baba diantaranya adalah memperkenalkan  pelajar- pelajar kepada penyelidikan ( R & DI). Program ini telah dilaksanakan pada tahun 2010 merupakan kesinambungan dari program SEM (School Enrichment Model) yang dijalankan di maktab pada setiap tahun. Program ini merupakan platform bagi pelajar untuk memperkembangkan lagi di mana projek-projek  sains (Kimia, Fizik, Biologi) , sains komputer dan rekacipta yang mempunyai potensi untuk diketengahkan dengan menggalakkan pelajar-pelajar membuat penyelidikan lanjut dengan bantuan universiti-universiti tempatan. Seterusnya, projek-projek ini di hantar untuk menyertai pertandingan di luar negara. Pihak maktab telah memberikan sokongan kepada jawataankuasa R & DI dengan menyediakan sebuah pusat R & DI sekolah dan membantu dari segi kewangan di dalam melaksanakan program ini. Hasilnya adalah amat menggalakkan di mana ramai kumpulan pelajar dari maktab ini telah memenangi pingat sama ada emas, perak atau gangsa pertandingan luar seperti I-SWEEP (Texas) , INEPO (Turki) dan INEPO Euroasia (Azerbaijan) , Infomatrix (Romania), ESI, dan lain-lain lagi. Apa yang penting bagi saya ialah bagaimana semua ini boleh memberikan pelajar-pelajar pengalaman untuk melakukan penyelidikan, di mana sepanjang proses yang berlaku ini sebenarnya merupakan satu proses pembelajaran bagi pelajar-pelajar yang tidak akan mereka jumpa di dalam bilik darjah. 
Penulis sebagai guru penasihat projek bersama pelajar MRSM TGB di pertandingan INEPO -EuroAsia 2011 di mana MRSM TGB berjaya mendapat 1 emas dan 1 perak. 

 Guru-guru juga perlu berubah, Pengajaran berbentuk konvensional tidak lagi releven di era sekarang berbanding 10 tahun yang lepas. Kemajuan teknologi menyebabkan penggunaan ICT di dalam bilik darjah semakin diterima oleh warga maktab di sekolah saya. Terbaru pihak pentadbiran telah pun melengkapkan projektor LCD pada semua makmal sains dan jawatankuasa ICT maktab juga sedang berusaha untuk meluaskan jaringan internet  tanpa wayar ke bangunan akademik bagi memberikan kemudahan kepada pelajar-pelajar dan guru menggunakan ICT di dalam mempelbagaikan teknik dan strategi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dan di makmal. Guru boleh menunjukkan pelbagai contoh bahan pengajaran yang boleh didapati dari internet terus ke dalam bilik darjah.  Pengajaran guru perlu berpusatkan kepada pelajar di mana pelajar diberikan aktiviti-aktiviti yang melibatkan aras tinggi seperti aplikasi, analisis dan sintesis agar mereka belajar bagaimana untuk belajar. Pelajar perlu diberikan kepercayaan yang mereka mampu melakukannya.

Di MRSM Tun Ghafar Baba, saya dapati walaupun sebahagian besar guru-guru merupakan guru senior, namun mereka tetap berupaya untuk menangani perubahan yang berlaku malah sanggup untuk belajar bagi menerima perubahan terutama belajar menggunakan peralatan ICT. Pada awal penggunaan peralatan ICT ini beberapa tahun lepas, walaupun masih tidak mahir, guru-guru masih lagi cuba mengunakannya di dalam P & P bagi memberikan variasi di dalam pengajaran dan apabila ini diimplentasikan di dalam kelas, pelajar menjadi kagum kerana guru boleh menggunakan peralatan ICT malah pelajar-pelajar ini merasa bangga apabila dapat membantu guru-guru untuk menggunakan peralatan -peralatan ICT ini.

Kesimpulannya, perubahan sentiasa berlaku dan sebagai guru kita perlu mengikuti arus perubahan bagi memastikan kerjaya guru tetap releven. Perubahan kecil yang dilakukan sebenarnya memberikan impak yang besar kepada keberkesanan sekolah.