Inspiring Quotes, Inspiration Quotes, Inspiring Sayings

Sunday, May 12, 2013

Model Sekolah Berkesan


Anda telah diberikan beberapa model  penambahbaikan sekolah (adanya hubungan 

antara memajukan bilik darjah dengan school-wide improvement).  Seterusnya anda 

diminta  untuk memberikan pendapat anda bagaimana penambahbaikan sekolah boleh 

dilaksanakan di sekolah anda dengan model-model ini. 

___________________________________________________________

Terdapat banyak model bagi pembentukan sekolah berkesan yang boleh diaplikasikan ke dalam sekolah bagi menghasilkan sekolah berkesan. Pengkaji-pengkaji juga telah mendapati keberkesanan sesebuah sekolah di sebabkan oleh beberapa faktor di mana di antaranya peranan pemimpin, iklim dan budaya sekolah, hubungan dengan komuniti luar, peranan dan tingkah laku guru, pengurusan bilik darjah dan sebagainya. 

Saya berpendapat bagi penambahbaikan sekolah dilaksanakan di maktab saya, gabungan beberapa model boleh dilakukan. Misalnya model Hallinger  bagi meningkatkan kepimpinan instruksional sesebuah sekolah berkesan. Mortimore pula telah membuat tinjauan dan dapatan dari penyelidikannya telah menggariskan 11 ciri sekolah berkesan di mana di antaranya kepimpinan profesional, perkongsian wawasan dan tujuan, persekitaran pembelajaran, tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran, pengajaran yang bertujuan, jangkaan kejayaan yang tinggi, pengukuhan yang positif, memantau kemajuan, hubungan rumah-sekolah dan organisasi pembelajaran. Kesemua ciri-ciri telah pun dilaksanakan di MRSM saya di mana dari segi kepimpinan profesional, kami mempunyai konsep musyawarah di dalam membuat sesuatu keputusan, kepimpinan pihak pentadbiran yang profesional dan mengamalkan kepimpinan instruksional, di mana merancang strategi kurikulum, memantau kemajuan pelajar, sedar dan tahu apa yang berlaku di dalam bilik darjah melalui laporan dan intervensi guru, dan juga sentiasa membaiki amalan dan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Ini juga selaras dengan model Hallinger berkaitan kepimpinan instruksional. 

Di dalam aspek bilik darjah, berdasarkan Model Keberkesanan Sekolah Pelbagai Aras, Creemers (1991), menyatakan asas kepada model tersebut ialah proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Sebab pertama kepada asas tersebut ialah pembolehubah-pembolehubah di bilik darjah bertanggungjawab menjelaskan kepada semua perbezaan terhadap pencapaian murid berbanding dengan pembolehubah pada peringkat sekolah. Sebab kedua ialah punca hubungan di antara pembolehubah-pembolehubah pada peringkat bilik darjah dan pada peringkat murid boleh ditunjukkan secara khusus daripada teori pembelajaran Model Bloom (1979) dan Model Caroll (1963, 1989) 

Daripada 11 ciri sekolah berkesan yang dinyatakan oleh Mortimore, terdapat 7 ciri yang berkaitan dengan penambahbaikan sekolah di dalam segi hubungan memajukan bilik darjah. Ciri berkenaan di antaranya ialah persekitaran pembelajaran, tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran, pengajaran yang bertujuan, pengukuhan positif, jangkaan kejayaan yang tinggi, memantau kemajuan serta hak dan tanggungjawab pelajar. Ini menunjukkan betapa pentingnya pengurusan bilik darjah. Manakala 10 dari 11 ciri sekolah berkesan yang dikemukakan oleh Mortimore merupakan ciri dala sekolah yang lebih bertumpukan proses daripada konteks. Hanya ciri hubungan sekolah-ruman merupakan ciri luaran sekolah. Oleh itu, penyelidikan berkesan sekolah menunjukkan lebih banyak varian keberkesanan disebabkan oleh faktor dalaman sekolah. Justeru itu, bagi tujuan penambahbaikann sekolah, kita seharusnya menumpukan tindakan yang lebih kepada faktor-faktor dalaman berbanding dengan faktor konteks. 

Ini bertepatan dengan Kerangka Komprehensif  Penambahanbaikan Sekolah oleh Creemers dan  Reezigt (2005) di mana menggabungkan keberkesanan sekolah dan penambahahbaikan sekolah di dalam Program Keberkesanan Sekolah (ESI).


Faktor Konteks
Terdapat tiga faktor yang berkaitan dengan konteks, iaitu 
1. Tekanan untuk berubah adalah lebih tinggi yang dihadapi oleh sekolah semasa mula ingin membuat penambahbaikan.  Ini termasuklah tekanan dari mekanisme pasaran di mana MRSM perlu bersaing dengan sekolah kementerian dan sekolah antarabangsa yang ada bagi menyediakan pendidikan yang terbaik. Maktab perlu mendefinisikan apa penambahbaikan yang diperlukan, usaha yang diperlukan bagi menjayakan penambahbaikan berkenaan dan menilai sama ada ianya berjaya atau tidak. 
2. Keperluan sumber merupakan faktor konteks yang penting di mana penambahbaikan sekolah. Bagi memastikan penambahbaikan efektif, sumber seperti kewangan, material, kelengkapan adalah diperlukan selain sokongan dari pihak luar seperti pihak ibu bapa.
3. Output ataupun hasil penambahbaikan sesebuah sekolah perlulah selari dengan matlamat pendidikan yang ingin dicapai di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Faktor Sekolah
Faktor sekolah juga memainkan peranan penting di dalam penambahbaikan dan keberkesanan sekolah di mana ianya melibatkan proses-proses yang dilakukan oleh sekolah untuk mencapai keberkesanan penambahbaikan sekolah. Tiga konsep yang terlibat ialah budaya penambahbaikan, proses penambahbaikan dan penambahbaikan dari segi output. 

Saya berpendapat model ini boleh dilaksanakan di maktab dan sesetengahnya sudah pun dilaksanakan tanpa menyedari ianya berdasarkan model oleh Creemes dan Reezigt ini. 

Friday, May 10, 2013

Prinsip Penambahbaikan Sekolah dari segi menambah baik pengurusan bilik darjah


Model penambah baikan sekolah di antaranya menekankan kepada perkembangan pelajar. Dalam hal ini wujudnya hubungan di antara memajukan bilik darjah dengan penambahbaikan sekolah secara menyeluruh. Saya berpendapat perkara ini adalah benar. Penambahbaikan di sekolah boleh dilakukan jika pengetua dan guru-guru sedar dan menambah baik pengurusan di bilik darjah. Guru bertanggungjawab sebagai pemimpin di dalam bilik darjah bagi mememastikan persekitaran pengajaran dan pembelajaran berada di dalam keadaan kondusif.

Berikut merupakan prinsip-prinsip penambahbaikan kemajuan sekolah yang boleh dilihat di dalam konteks memajukan bilik darjah agar menjadi lebih efektif.

Prinsip 1: 
• Mempercayai bahawa semua pelajar boleh belajar, diajar dan mencapai kemajuan 
• Tidak ada seorang pelajar pun yang tidak boleh diajar atau tidak boleh belajar. 
• Usaha membangunkan sekolah perlu mengambil kira langkah memajukan setiap orang pelajar. 
• Setiap orang pelajar berbeza fizikal, mental, emosi, kemahiran dan latar belakang budaya. 
• Persepsi bahawa pelajar malas, bodoh dan seumpamanya bertentangan dengan nilai pendidikan sejagat. 
• Peluang yang sama harus diberikan kepada golongan pelajar yang kurang bernasib baik. 
• Kehadiran pelajar ke sekolah menandakan mereka ingin belajar. 
• Salah satu matlamat kemajuan dalam sekolah adalah untuk meningkatkan kehadiran pelajar (dengan menyelesaikan masalah yang disebabkan oleh faktor sekolah). 
• Wujudkan persekitaran dan suasana sekolah yang dapat menarik pelajar untuk belajar. 
• Faktor kehadiran pelajar berkait rapat dengan tahap pencapaian akademik. 
• Amalan yang tidak produktif : Pujian/penghargaan hanya diberi kepada pelajar yang pandai dan kurang memberi bimbingan kepada pelajar yang lemah. 

Prinsip 2: 
• Mempercayai bahawa sekolah adalah kunci utama kejayaan pelajar 
• Faktor dalaman sekolah wajar diberi perhatian terlebih dahulu berbanding faktor luaran. 
• Faktor sekolah amat kuat mempengaruhi taraf kemajuan sesebuah sekolah. 
• Keadaan sekolah dapat menyuburkan pembangunan intelek dan sosial serta memberi kesejahteraan mental dan fizikal pelajar. 
• Peluang harus diberikan kepada setiap pelajar untuk memajukan dan memperkembangkan intelek serta bakat mereka. 
• Iklim dan budaya sekolah yang tidak menggalakkan perkembangan individu para pelajar akan menghasilkan pelajar yang gagal dalam peperiksaan, melakukan vandalisme serta menimbulkan pelbagai masalah ekonomi dan sosial dalam masyarakat. 

Prinsip 3: 
Pembangunan kemajuan dalam sekolah merupakan usaha mewujudkan satu budaya sekolah yang lebih positif .
• Budaya sekolah merupakan antara elemen penting yang menentukan kemajuan dan produktiviti sesebuah sekolah serta mempengaruhi pencapaian sekolah. 
• Faktor-faktor yang merangkumi budaya sekolah adalah seperti interaksi antara pelajar dan guru, tradisi yang diamalkan, proses pengajaran di bilik darjah (pengurusan bilik darjah) dan cara-cara pengetua  mengurus sekolah. 
• Faktor-faktor ini terbukti amat kuat mempengaruhi kemajuan sesebuah sekolah. 

• Beberapa keadaan yang mungkin wujud di sekolah: 
1. Sekolah diurus tanpa mempunyai matlamat yang hendak dicapai
2. Sekolah diurus oleh pemimpin autokratik (beri arahan semata-mata tanpa bimbingan dan tidak terima pendapat orang lain) 
3. Sekolah diurus secara laissez-faire (serah bulat-bulat hal-hal pelajaran kepada guru) 
terlalu keras mengenakan tindakan disiplin (mengambil masa p&p untuk selesaikan masalah remeh-temeh) 
4. Sesi mesyuarat terlalu panjang (mengambil masa guru di bilik darjah) 
5. Bilik darjah tidak diurus dengan sewajarnya.
6. Guru lewat masuk ke bilik darjah
7. Persediaan p&p tidak dibuat
8. Kaedah p&p hanya beri kefahaman kepada pelajar cerdas atau yang disukai (pelajar kurang cerdas dan tidak disukai terbiar tanpa diberi pemulihan) 
9. Guru abai pelajar slow learner serta salahkan perkara berkaitan latar belakang pelajar 
10. Guru kurang beri perhatian kepada kebolehan mental dan kemahiran belajar  (pelajar lemah akan terus ketinggalan) 
11. Guru memberi lebih peluang hanya kepada murid berbakat sahaja dalam aktiviti kokurikulum (pelajar yang tidak berbakat tersisih, pasif, kecewa dan putus harapan sehingga mewujudkan percanggahan nilai) 

• Budaya sekolah wujud daripada sistem sekolah melalui amalan pengurusan, pengajaran dan interaksi antara satu sama lain (bukan dicorakkan oleh budaya pelajar yang berlainan latar belakang dan kebolehan). 
• Pembangunan kemajuan dalam sekolah sebenarnya lebih bercorak pembaikan atau pembetulan amalan yang tidak merangsang proses pembelajaran secara produktif. 

Prinsip 4: 
• Kelolaan dan pengurusan bilik darjah yang berkesan ialah aspek penting untuk 
meningkatkan lagi pencapaian akademik sekolah. 
• Bilik darjah merupakan unit terpenting di sekolah, tempat berlakunya: 
 proses p&p
 interaksi guru – pelajar 
 masalah disiplin melibatkan pelajar. 
• Pengurusan bilik darjah mempunyai kaitan yang kekal dengan pencapaian akademik pelajar 
• Pembelajaran berkesan bergantung kepada guru yang mengajar:
 cara guru mengelola dan mengurus bilik darjah 
 kaedah pengajaran digunakan 
 persediaan mengajar 
 strategi yang digunakan untuk menyelesaikan masalah disiplin dalam bilik darjah 
 aktiviti pembelajaran yang dijalankan. 
• Pengajaran bukan sekadar menyampaikan isi kandungan pelajaran. Hasil pengajaran ialah PEMBELAJARAN. Jika pembelajaran tidak berlaku, maka tidak berlaku pengajaran. 
• Hubungan guru dengan pelajar dan perilaku guru turut mempengaruhi pembelajaran di bilik darjah. 
• Pengukuhan aspek negatif yang berlebihan berbanding aspek positif dalam membetulkan kelakuan pelajar boleh memberi kesan yang mendalam terhadap pelajar. 
• 4 faktor utama untuk p&p berkesan: 
 memastikan pelajar jelas tentang apa yang diajar 
 menggunakan pelbagai kaedah/strategi pengajaran 
 sering memberi dan menerima maklum balas yang jelas 
 memantau perkembangan dan pencapaian setiap pelajar 
• Pengurusan bilik darjah yang berkesan merupakan satu usaha yang banyak dijalankan oleh sekolah yang berjaya. 

Prinsip 5: 
• Penyelesaian masalah sekolah harus ditumpukan kepada punca-punca yang menyebabkan timbulnya masalah itu dan bukan kepada gejala-gejalanya 
• Kadang-kala sesuatu program yang dilaksanakan gagal mencapai matlamat yang diharapkan, bahkan menambahkan lagi masalah yang ada. 
• Kelemahan pelajar dalam pelajaran misalnya, bukanlah disebabkan kurangnya program pembelajaran tetapi mungkin disebabkan faktor-faktor lain seperti: 
 kaedah pengajaran guru 
 kurang bimbingan daripada guru
 merasa tawar hati disebabkan guru melabel mereka sebagai kumpulan 
pelajar yang lemah dan bermasalah 
 tekanan psikologi disebabkan fokus pengajaran guru hanya kepada pelajar pintar dan cerdas 
• Tindakan disiplin tidak akan berkesan jika ia dilaksanakan semata-mata untuk menghukum tanpa mengambil kira sebab seseorang pelajar itu melakukannya, malah boleh menimbulkan masalah lain pula seperti ponteng sekolah dan vandalisme. 
• Pelajar inginkan kejayaan untuk perkembangan akademik dan sosial mereka. Jika budaya dan amalan yang terdapat di sekolah tidak memberi peluang kepada mereka untuk menikmati kejayaan dan mengiktiraf harga diri, maka masalah sedemikian akan berterusan. 
• Jika punca wujudnya masalah adalah di sekolah, maka matlamat bagi program kemajuan haruslah tertumpu kepada pembaikan masalah di sekolah. 
• Punca masalah seharusnya dikenalpasti secara objektif, bukan berdasarkan andaian yang difikirkan. 
• Faktor sekolah, yakni budayanya (amalan sekolah yang produktif dan tidak  produktif) ialah punca kegagalan atau kejayaan sesebuah sekolah. 

Prinsip 6: 
• Pembangunan kemajuan sekolah perlu dilakukan atas dasar usaha sama dan 
bukanlah semata-mata usaha pengetua seorang sahaja 
• Matlamat sekolah ialah matlamat bersama setiap ahli organisasi sekolah: barisan kepimpinan, guru, staf dan pelajar. 
• Perancangan dan pelaksanaan pembangunan kemajuan dalam sekolah seharusnya menjadi aktiviti bersama. 
• Perancangan program kemajuan secara tidak terancang serta tidak mengambil kira penglibatan bersama setiap ahli akan menimbulkan kepincangan dalam pelaksanaan program. 
• Semangat bersama, kepunyaan bersama dan idea bersama adalah faktor utama dalam pelaksanaan  pembangunan kemajuan dalam sesebuah sekolah. 
• Berdasarkan kajian, penglibatan bersama para pelajar dalam proses membuat sesuatu keputusan yang berkaitan dengan diri mereka, telah terbukti mempunyai hubungan yang rapat dengan rasa puas hati mereka terhadap pekerjaan yang seterusnya memberikan hasilan output yang memuaskan. 
• Setiap individu yang terlibat dalam membuat sesuatu keputusan mempunyai potensi kemahiran dan pengetahuan yang seandainya digembelengkan akan mewujudkan satu kesatuan yang kukuh. 
• Komunikasi dua hala dan rasa percaya mempercayai adalah juga unsur-unsur penting dalam penglibatan bersama ini. 

Prinsip 7: 
• Maklumbalas yang berterusan merupakan mekanisme penting pelaksanaan 
pembangunan kemajuan dalam sekolah 
• Pelaksanaan pembangunan kemajuan dalam sekolah perlu dinilai secara berterusan dari semasa ke semasa. 
• Maklumat yang diperolehi penting untuk menentukan sama ada usaha yang dijalankan mencapai matlamat atau tidak. 
• Pelbagai kaedah pengukuran boleh digunakan: 
 pemerhatian dan pengawasan 
 pengumpulan data daripada rekod (seperti rekod kedatangan) 
 analisis peperiksaan bulanan, penggal dan tahun 
 kes disiplin 
 surat aduan atau pujian 
 pandangan/pendapat daripada ibu bapa atau masyarakat sekitar , soal selidik dan temu bual dengan pelajar atau guru 
• Organisasi sekolah perlu mengamalkan action research yang merupakan mekanisme yang amat berguna bagi pihak sekolah untuk memajukan sekolah. 
• Maklumat berterusan melalui kajian bagi mendapatkan maklum balas merupakan entropi negatif yang menyebabkan sesebuah organisasi boleh berfungsi dengan lebih berkesan. 

Prinsip 8: 
Mempercayai dan mengakui bahawa ibu bapa dan masyarakat sekitar mempunyai pelbagai kemahiran dan sumber tenaga yang dapat membantu pihak sekolah 
• Sekolah mengamalkan dasar terbuka - beri peluang kepada ibu bapa dan masyarakat sertai pihak sekolah. 
• Ibu bapa dan masyarakat menjadi sumber tenaga yang diperlukan kepada pihak sekolah. 
• Persefahaman dan kerjasama yang wujud menjadi benteng bagi mengelakkan timbul masalah sekolah berpunca daripada faktor masyarakat. 
• Harus diakui bahawa sekolah tidak akan dapat selesaikan masalah yang timbul daripada faktor luar sekolah secara bersendirian. 
• Konsep sekolah sebagai institusi masyarakat - sekolah adalah sebahagian daripada masyarakat dan harus berfungsi untuk kepentingan masyarakat. 
• Masyarakat tidak boleh lepas tangan dan serahkan bulat-bulat hal-hal berkaitan persekolahan kepada pihak sekolah semata-mata. 
• Sumber tenaga, material dan buah fikiran daripada masyarakat dan alam sekitar perlu digunakan sepenuhnya untuk pembangunan kemajuan sekolah. Prinsip 10: Kemajuan sesebuah sekolah memerlukan Pengetua yang mempunyai kepimpinan yang berkesan 
• Prinsip terpenting--menegaskan bahawa maju atau mundur sesebuah sekolah adalah tanggungjawabPengetua / Guru Besar sendiri. 
• Pengetua / Guru Besar ialah faktor yang menentukan keberkesanan sesebuah sekolah. 


Enam ciri kepimpinan Pengetua / Guru Besar berkesan (Sweeney, 1982): 
1.Memberi penekanan kepada pencapaian akademik (aktiviti-aktiviti, pengajaran dan bahan mengajar) 
2.Menetapkan strategi pengajaran dan mengambil bahagian dalam membuat keputusan tentang hal-hal pengajaran. 
3.Mewujudkan iklim sekolah yang teratur, aman dan menyeronokkan untuk p&p. 
4.Sentiasa menilai kemajuan para pelajar, menetapkan harapan dan jangkaan sekolah serta sentiasa menyemak sama ada jangkaan itu tercapai atau tidak 
5.Mengkoordinasi program pengajaran serta menghubungkan kandungan pelajaran yang hendak diajar dengan objektif yang hendak dicapai dan bahan-bahan pengajaran. 
6.Menunjukkan kelakuan yang positif dengan memberi bantuan dan sokongan kepada guru-guru. 
Menjelaskan matlamat sekolah dan menggalakkan guru-guru menghadiri bengkel (atau mengadakan sendiri perbengkelan dan aktiviti perkembangan staf). 
• Fokus memperbaiki kemajuan sekolah hendaklah berfokuskan p&p di bilik darjah serta perhubungan guru dengan pelajar. Secara umumnya, usaha untuk memajukan sekolah hendaklah berfokuskan: 
• pencapaian matlamat sekolah 
• penyelesaian punca-punca masalah 
• membentuk dan mewujudkan budaya baru yang lebih produktif 
• menggerakkan segala tenaga (dalam dan luar sekolah)



* Di ambil dari blog Sektor Jaminan Kualiti, JPN Kedah

Wednesday, May 8, 2013

Caraku......

Hari ini nak lari dari tajuk...tidak bercerita berkaitan dengan keberkesanan sekolah atau pun penambahbaikan sekolah. Tetapi lebih kepada santai di mana kita sebagai seorang guru sebenarnya mempunyai cara dari sudut dan perspektif masing-masing yang berbeza bagi membantu bagi mencapai kecemerlangan sekolah.

Gaya pengajaran seseorang guru berbeza di antara satu sama lain. Ini kerana setiap individu mempunyai personaliti unik yang ada kekuatan dan juga kelemahan. Oleh kerana itu, setiap guru yang ada di maktab ini,  mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Walaubagaimana pun, sikap bekerjasama dan bekerja di dalam pasukan di dalam unit sebenarnya membantu kerana ianya akan saling melengkapi di mana menutup kekurangan dan menonjolkan kekuatan yang ada. Oleh sebab setiap unit mempunyai pendirian yang sama, maka setiap kejayaan dan kegagalan adalah dikongsi bersama. Tidak berlaku di MRSM ini, apabila berlaku kemerosotan prestasi sesuatu subjek, ada individu guru yang akan di salahkan. Malahan kata-kata perangsang dan motivasi diberikan oleh guru-guru lain agar motivasi tidak jatuh dan mencari cara bagaimana mengatasinya agar ianya boleh diperbaiki supaya tidak berlaku di masa akan datang. Kejelikatan di antara guru adalah sangat kuat di sini. Cubit peha kanan pasti terasa di peha kiri. Justeru itu, tidak ada sikap individualistik di dalam diri guru. Ini kerana matlamat yang ingin dicapai adalah sama iaitu  supaya pelajar-pelajar dapat belajar setiap hari di mana pengalaman baru yang diperoleh oleh pelajar itu kekal di dalam ingatan mereka.  Bagi semua guru-guru di TGB, setiap usaha dan kepayahan, dugaan dan cabaran, jerihdan perih terbayar apabila melihat semua anak didik berjaya bukan sahaja di dalam akademik, ko-kurikulum dan juga sahsiah. 

Apa yang ingin disampaikan, walaupun setiap guru mempunyai cara yang berbeza di dalam proses pengajaran dan pembelajaran masing-masing, denga gaya pengajaran yang berbeza, kaedah dan straegi yang berlainan, namun semuanya dilakukan bagi mencapai matlamat dan tujuan yang sama yang telah ditetapkan oleh pihak maktab iaitu untuk kecemerlangan para pelajar. 




Monday, May 6, 2013

Ulasan Artikel 5 : Model Hubungan Sekolah Dan Komuniti Bagi Peningkatan Proses Pengajaran dan Pembelajaran


Ulasan Artikel 5 : Model Hubungan Sekolah Dan Komuniti Bagi Peningkatan Proses Pengajaran dan Pembelajaran : Satu Cadangan oleh Ahmad Zabidi Abdul Razak dan Mariani Md Nor, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya.

Pendahuluan
Kejayaan pengurusan sesebuah sekolah bukan sahaja  bergantung pada kekuatan sumber manusia dan sumber yang terdapat di sekolah malah melibatkan komuniti setempat. Pengkaji mendapati kerja sama yang erat antara sekolah dan masyarakat akan meningkatkan kejayaan proses pengajaran pembelajaran di sekolah. Jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengenal pasti salah satu aspek yang penting dalam peningkatan taraf pelajaran di Malaysia ialah melalui kerjasama masyarakat dalam pembangunan sekolah. Penubuhan PIBG  melalui Akta Pendidikan 1996 menunjukkan pentingnya peranan komuniti bagi membantu kecemerlangan sekolah.

Ulasan Kajian
Kajian ini bertujuan untuk membincangkan signifikan hubungan di antara sekolah dengan komuniti. Pengkaji mendapati amat penting untuk sekolah melaksanakan hubungan di antara sekolah dan komuniti. Bagaimana pun terdapat cabaran di dalam melaksanakan konsep hubungan sekolah dan komuniti. Penglibatan ibu bapa dalam aktiviti sekolah amat terhad kepada projek-projek kecil seperti gotong-royong dan mengutip derma. Ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti tekanan kerja dan masalah kewangan yang lebih penting dari keperluan emosi dan pelajaran anaknya menyebabkan tidak semua ibu bapa boleh menghabiskan masa melibatkan diri dengan aktiviti di sekolah.

Kertas ini juga telah mengutarakan Model Penglibatan Ibu Bapa oleh Hoover-Dempsey dan Sandler (1995, 1997).  Model ini mengenal pasti tiga faktor kritikal dalam menentukan penglibatan ibu bapa iaitu
       a.       Kepercayaan ibu bapa tenang keperluan merekan melibatkan diri dalam pendidikan 
              anak-anak mereka
       b.      Efikasi kendiri ibu bapa – mereka mempunyai pengetahuan dan kemahiran
       c.       Sikap terbuka sekolah terhadap ibu bapa.

Model ini menunjukkan hubungan sekolah dan komuniti dapat diwujudkan sekiranya pihak pengurusan sekolah dapat memastikan agar pihak guru dan ibu bapa saling memahami perasaan di antara satu sama lain bagi mewujudkan hubungan harmoni. Masalah berkaitan sekolah dan ibu bapa perlu diatasi bagi memudahkan pihak sekolah dan ibu bapa berkomunikasi dengan berkesan bagi mencapai tujuan bersama iaitu memastikan kejayaan anak-anak di dalam pelajaran.
Menurut Berger (1983), terdapat 5 kumpulan ibu bapa yang perlu diketahui oleh pihak sekolah iaitu:
      a.       Ibu bapa mengelak dari sekolah
      b.      Ibu bapa perlu galakan untuk datang ke sekolah
      c.       Ibu bapa sukarela datang jika dijemput
      d.      Ibu bapa komited dan berasa seronok melibatkan diri
      e.       Ibu bapa suka menonjolkan kuasa dan pengaruh di sekolah

Berdasarkan itu, pihak pengurusan sekolah harus memainkan peranan sebagai “morale builder program designer and program coordinator” dengan mengamalkan dasar pintu terbuka, menyediakan bilik pertemuan dengan ibu bapa, menyelaras mesyuarat dan bengkel dengan ibu bapa, dan  memberikan sokongan kepada PIBG.  Para guru boleh bertindak sebagai fasilitator, kaunselor, penyelaras program dan sumber serta kawan kepada ibu bapa. Kedua pihak ibu bapa dan guru perlu bersikap terbuka dalam usaha bagi memperbaiki keputusan anak dan murid masing-masing. Dengan menjemput ibu bapa ke sekolah membolehkan komunikasi dua hala yang efektif berlaku dan seterusnya mewujudkan kerjasama dan respon dari pihak ibu bapa.

Kesimpulan
Rumusannya, bolehlah dikatakan pengenalan model hubungan sekolah dan komuniti ini adalah merupakan cadangan bagi pertukaran  idea serta perkongsian bijak antara pihak sekolah dan ibu bapa bagi faedah bersama.

Sunday, May 5, 2013

Ulasan Artikel 4 : Kepimpinan pendidikan berkesan


Ulasan Artikel 4 : Kepimpinan pendidikan berkesan oleh Baharom Mohamad, Mohamad Johdi Salleh dan Che Noraini Hasyim, Fakulti Pendidikan Teknikal, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan International Islamic Universiti Malaysia (IIUM).

Pendahuluan
Dunia pendidikan yang berubah mengikut perubahan dunia global menyebabkan institusi pendidikan berubah mengikut keadaan semasa. Sekolah bergerak ke arah yang lebih baik di mana penambahbaikan yang dilakukan bertujuan untuk menjadikan sesebuah sekolah berkesan. Oleh sebab itu, institusi pendidikan juga memerlukan kepimpinan yang berkesan. Kepimpinan yang berkesan bermaksud seseorang pengetua berupaya mempengaruhi tingkah laku para guru, pelajar dan kakitangan sekolah untuk menerima kepimpinannya ke arah pencapaian matlamat sekolah. Peranan kepemimpinan pengetua telah diketahui sangat penting bagi sekolah berkesan dan di dalam artikel ini akan dibincangkan pendekatan-pendekatan di dalam teori kepimpinan yang boleh digunakan untuk menjadikan seseorang pemimpin itu berkesan.

Ulasan Artikel
Kajian ini menerangkan kepada kepentingan pengetua bagi menghasilkan pelajar yang cemerlang. Beberapa pendekatan di dalam teori kepimpinan yang dibincangkan di mana di antaranya ialah Teori Sifat iaitu dengan mengenal pasti sifat personaliti seseorang pemimpin. Teori Gelagat pula menerangkan gelagat seorang pemimpin manakala teori kontingensi mencadangkan model kontingensi untuk mengatasi kelemahan pendekatan terdahulu dan mengambil kira penemuan penyelidikan. Kajian Universiti Michigan memperkenalkan dua dimensi gelagat kepimpinan iaitu orientasi pekerja yang mementingkan keperluan pekerja bawahan dan menerima perbezaan yang wujud di dalam kumpulan dan orientasi pengeluaran yang menekankan aspek teknikal untuk mencapai tugasan kumpulan. Model Fiedler mencadangkan prestasi kumpulan yang berkesan bergantung pada kesepadanan gaya kepimpinan dengan subordinat dan setakat mana keadaan itu memberi kawalan dan pengaruh kepada pemimpin. Fiedler mendapat pencapaian kumpulan adalah tinggi apabila terdapat gabungan perhubungan pemimpin-ahli yang baik, struktur tugas tinggi dan kuasa jawatan dan kepimpinan berorientasikan tugas.

Pendekatan kepimpinan yang terdiri dari teori kepimpinan atribusi yang mana pengikut mempunyai persepsi tertentu tentang pemimpin mereka, teori kepimpinan karismatik, kepimpinan jenis pelaksanaan di mana pemimpin memberi motivasi kepada pengikut mereka ke arah mencapai objektif dengan memberi penjelasan tentang peranan dan keperluan sesuatu tugas. Kepimpinan jenis transformasi pula memberi inspirasi kepada pengikutnya mengatasi kepentingan diri sendiri demi kepentingan organisasi dan berkebolehan memberi kesan yang mendalam dan luar biasa kepada pengikutnya. Kepimpinan instruksional pula merupakan pendekatan kepimpinan yang memberi penekanan kepada tingkah laku guru dan aktiviti-aktiviti yang memberi kesan kepada perkembangan pelajar. Menurut Hallinger dan Murphy (1987), melalui kerangka kepimpinan instruksioanal terdapat tiga dimensi yang iaitu mendefinisi misi sekolah, mengurus kurikulum dan pengajaran serta mempromosikan iklim pembelajaran sekolah.

Penutup/Kesimpulan
Berdasarkan pendekatan teori-teori kepimpinan pendidikan yang dibincangkan, pengetua yang berkesan perlu mempunyai kesedaran yang tinggi dan mempunyai jiwa yang kuat serta bercita-cita tinggi dan sentiasa mencari idea-idea baru untuk meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan. Pemimpin yang berkesan harus mempunyai ciri-ciri seperti kepintaran, kejujuran dan integriti, berpengetahuan dalam bidang, keyakinan diri, dorongan kepimpinan serta semangat yang tinggi. 

Friday, May 3, 2013

Ulasan Artikel 3: Peranan Kepimpinan Guru Mempengaruhi Keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah Dalam Iklim Bilik Darjah


Ulasan Artikel 3: Peranan Kepimpinan Guru Mempengaruhi Keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah Dalam Iklim Bilik Darjah oleh Kamarol Baharen Mohd Rom dan Johan@Eddy Luaran. Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi MARA.

Pendahuluan
Kajian ni berkisar kepada peranan kepimpinan guru di dalam mempengaruhi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran sejarah dalam iklim bilik darjah. Artikel ini secara tidak langsung membincangkan peranan kepimpinan guru di dalam bilik darjah mempengaruhi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran sejarah. Selain itu, artikel ini membincangkan tentang faktor-faktor yang mempengaruhi iklim bilik darjah, membentuk agenda bilik darjah, kaedah pelaksanaan bilik darjah yang efektif serta halangan dan cabaran guru dalam mengimplikasikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

Isu Kajian
1. Menurut Crowther, (1997); Sashkin & Sashkin (1993), kebanyakan kajian dilakukan terhadap kepimpinan pengetua berbanding peranan kepimpinan guru di dalam bilik darjah. Menurut Banathy (1991), perubahan yang sistemik adalah segala perubahan yang berlaku pada sesuatu bahagian dalam satu sistem organisasi yang mempengaruhi keseluruhan keberkesanan sesebuah sekolah.

2. Guru mempunyai persepsi bahawa peranan kepimpinan guru terletak di bahu pengetua atau pentadbir sekolah. Guru beranggapan peranan mereka hanya mengajar pelajar mengikut sukatan pelajaran yang disediakan dan memastikan sukatan pelajaran yang diperuntukkan perlu dihabiskan mengikut jangka masa yang ditetapkan.

Dapatan Kajian
Berdasarkan beberapa definisi oleh pengkaji-pengkaji yang mengkaji tentang kepimpinan, secara kesimpulannya, kepimpinan adalah sebagai proses mempengaruhi kegiatan manusia yang berkaitan dengan tugas dan tanggungjawab mereka yang mana keterlibatan mereka adalah secara sukarela dan berusaha ke arah keberkesanan dan pencapaian matlamat organisasi. Namun demikian dalam perspektif pendidikan, kepimpinan dikaitkan dengan peranan kepimpinan guru di sekolah dan bilik darjah. Kajian ini juga membincangkan tentang pentingnya perkongsian bersama pihak pentadbir dengan guru-guru yang terlibat secara langsung untuk membuat keputusan berkaitan dalam program-program P & P di mana antaranya merangkumi penilaian guru dan  murid, iklim sekolah, kurikulum dan ko-kurikulum, sumber dan peralatan mengajar (ABM), kakitangan, kaedah membuat keputusan, matlamat pengajaran, sokongan komuniti, komunikasi dan interaksi antara pengetua dengan guru-guru.

Peranan kepimpinan guru lebih di dalam bilik darjah di mana guru diharapkan boleh membuat perubahan di dalam bilik darjah dengan melakukan inovasi dan kolaborasi ke arah pencapaian matlamat pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu berkebolehan merancang, memberi arahan, mengawal perjalanan proses dan membentuk strategi bagi mencapai matlamat yang ingin dicapai. Antara perkara penting yang boleh dilakukan oleh guru ialah membentuk agenda bilik darjah bagi membentuk iklim bilik darjah yang sihat untuk pembangunan akademik dan sosial murid-murid. Agenda bilik darjah yang disebut oleh Hook dan Vass (2000) adalah hak, tanggungjawab, peraturan dan rutin. Hak di dalam artikel ini merujuk kepada hak murid untuk belajar, hak guru untuk mengajar, hak setiap individu untuk keselamatan dari segi fizikal dan psikologi dan hak setiap individu untuk taraf penghormatan dan kemuliaan. Guru mendorong murid supaya bertanggungjawab ke arah perlakuan dan usaha diri untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan yang diingini. Pelajar ditekankan dengan kepentingan peraturan dan undang-undang sekolah. Di dalam bilik darjah, guru perlu menekankan peraturan yang perlu diikuti oleh pelajar.

Rumusan
Guru perlu melibatkan diri dalam aspek peranan kepimpinan guru di mana guru bertanggungjawab terhadap pengajaran dan pembelajaran pelajar di mana guru perlu mengadakan matlamat dan objektif  p & p, membimbing murid, membuat keputusan, mengelolakan aktiviti serta bekerja dengan guru lain agar matlamat  p & p tercapai. Guru harus bertindak termasuk merefleksi diri, cuba melaksanakan pembelajaran secara kolaboratif dan penyelesaian masalah bagi mewujudkan kepimpinan guru yang berkesan.

Thursday, May 2, 2013

Ulasan Artikel 2: Kepimpinan Pengetua, Iklim Sekolah dan Keberkesanan Pengajaran Merupakan Faktor Penting Bagi Mewujudkan Sekolah Berkesan Khususnya di Sabah


Ulasan 2: Kepimpinan Pengetua, Iklim Sekolah dan Keberkesanan Pengajaran Merupakan Faktor Penting Bagi Mewujudkan Sekolah Berkesan Khususnya di Sabah oleh Ruslin Ekon, Jabatan Ilmu Pendidikan.

Pendahuluan
Artikel ini berkisar kepada faktor-faktor yang mempengaruhi sebuah sekolah sebagai sekolah berkesan. Terdapat pelbagai definisi bagi sekolah berkesan ini. Menurut Abdul Shukor (1998), sekolah berkesan ialah sekolah yang berjaya menghasilkan pelajar yang berjaya dalam aspek akademik, pembangunan diri dan sahsiah dan kemahiran sosial, melalui pemupukan tradisi budaya dan watak sekolah itu sendiri. Dr Rahimah (1988) telah mentakrifkan sekolah berkesan sebagai sekolah yang berjaya memenuhi Falsafah Pendidikan Negara. Berdasarkan berbagai-bagai definisi sekolah berkesan, secara umumnya sekolah berkesan boleh didefinisikan sebagai sekolah yang berjaya mencapai matlamat dan objektif penubuhan sekolah sebagai institusi pendidikan.

Terdapat tiga faktor yang dibincangkan di dalam artikel ini bagi mewujudkan sekolah berkesan. Faktor-faktor berkenaan ialah kepimpinan pengetua, iklim sekolah dan keberkesanan pengajaran.

1. Kepimpinan pengetua
Dari segi faktor kepimpinan pengetua, di dapati bahawa kepimpinan pengetua memberikan impak kepada hasil dan kemenjadian pelajar. Pengetua diharapkan mengamalkan gaya kepimpinan yang berorientasikan tugasan dan manusia mengikut situasi yang tertentu. Pengetua perlu mengamalkan gaya kepimpinan demokratik di samping mempunyai personaliti unggul seperti mempunyai kemahiran dalam bidang kepengetuaan, kualiti kepimpinan pengajaran, tegas, bermotivasi, berwawasan, proaktif, mahir, mengutamakan pembangunan tenaga manusia serta menggalakkan inovasi bagi mempengaruhi organisasi sekolah yang dipimpinnya.

2. Iklim sekolah
Faktor seterusnya ialah iklim sekolah. Iklim sekolah yang baik wujud hasil dari sistem pentadbiran yang teratur, sistematik, adanya toleransi di kalangan kakitangan, dan wujud budaya berpasukan di sekolah. Selain itu wujudnya perhubungan yang saling hormat-menghormati antara guru dan pelajar, pengetua dengan guru  dan pelajar dengan pelajar. Iklim sekolah juga merangkumi kesukarelaan pelajar menerima aspirasi dan peraturan sekolah yang diaturkan oleh pihak pentadbir sekolah. Iklim sekolah yang baik dilihat juga dengan adanya perasaan kekitaan di kalangan murid-murid dan para guru dengan menganggap sekolah sebagai sebuah keluarga yang mesra dan bahagia. Selain itu, kebersihan, keindahan sekolah, keselesaan dan keselamatan di sekolah memberikan kesan kepada penghasilan sebuah sekolah berkesan.

3. Keberkesanan pengajaran
Faktor yang ketiga ialah dari segi keberkesanan pengajaran. Ini merangkumi pengajaran guru di dalam kelas di mana pelbagai kaedah pengajaran digunakan di samping alat bantu mengajar, serta pakar di dalam bidang masing-masing. Menurut Slavin (1978), empat faktor yang mempengaruhi pengajaran berkesan iaitu kualiti pengajaran, kesesuaian aras pengajaran, insentif dan masa. Pengajaran guru perlu menyeronokkan dan mudah difahami oleh pelajar serta pelajar diberikan masa untuk belajar. Guru perlu memberikan kesamarataan peluang tanpa mengira latar belakang pelajar berkenaan.

Kesimpulan
Bagi menghasilkan sebuah sekolah berkesan,  ketiga-tiga faktor yang dibincangkan di atas perlu di integrasikan bersama. Pengetua berperanan untuk memastikan guru-guru menyampaikan pengajaran yang berkesan di sekolah. Kepimpinan pengetua yang tegas, bermatlamat dan berwawasan  akan dapat mengubah sebuah sekolah kerana pengetua perlu menggerakkan semua ahli di dalam organisasi sekolah untuk melakukan perubahan di sekolah seterusnya membentuk sekolah berkesan.