Ulasan 2: Kepimpinan Pengetua, Iklim Sekolah
dan Keberkesanan Pengajaran Merupakan Faktor Penting Bagi Mewujudkan Sekolah
Berkesan Khususnya di Sabah oleh Ruslin Ekon, Jabatan Ilmu Pendidikan.
Pendahuluan
Artikel ini berkisar kepada faktor-faktor yang
mempengaruhi sebuah sekolah sebagai sekolah berkesan. Terdapat pelbagai
definisi bagi sekolah berkesan ini. Menurut Abdul Shukor (1998), sekolah
berkesan ialah sekolah yang berjaya menghasilkan pelajar yang berjaya dalam
aspek akademik, pembangunan diri dan sahsiah dan kemahiran sosial, melalui
pemupukan tradisi budaya dan watak sekolah itu sendiri. Dr Rahimah (1988) telah
mentakrifkan sekolah berkesan sebagai sekolah yang berjaya memenuhi Falsafah
Pendidikan Negara. Berdasarkan berbagai-bagai definisi sekolah berkesan, secara
umumnya sekolah berkesan boleh didefinisikan sebagai sekolah yang berjaya
mencapai matlamat dan objektif penubuhan sekolah sebagai institusi pendidikan.
Terdapat tiga faktor yang dibincangkan di dalam
artikel ini bagi mewujudkan sekolah berkesan. Faktor-faktor berkenaan ialah
kepimpinan pengetua, iklim sekolah dan keberkesanan pengajaran.
1. Kepimpinan pengetua
Dari segi faktor kepimpinan pengetua, di dapati
bahawa kepimpinan pengetua memberikan impak kepada hasil dan kemenjadian
pelajar. Pengetua diharapkan mengamalkan gaya kepimpinan yang berorientasikan tugasan
dan manusia mengikut situasi yang tertentu. Pengetua perlu mengamalkan gaya
kepimpinan demokratik di samping mempunyai personaliti unggul seperti mempunyai
kemahiran dalam bidang kepengetuaan, kualiti kepimpinan pengajaran, tegas,
bermotivasi, berwawasan, proaktif, mahir, mengutamakan pembangunan tenaga manusia
serta menggalakkan inovasi bagi mempengaruhi organisasi sekolah yang
dipimpinnya.
2. Iklim sekolah
Faktor seterusnya ialah iklim sekolah. Iklim
sekolah yang baik wujud hasil dari sistem pentadbiran yang teratur, sistematik,
adanya toleransi di kalangan kakitangan, dan wujud budaya berpasukan di
sekolah. Selain itu wujudnya perhubungan yang saling hormat-menghormati antara
guru dan pelajar, pengetua dengan guru
dan pelajar dengan pelajar. Iklim sekolah juga merangkumi kesukarelaan
pelajar menerima aspirasi dan peraturan sekolah yang diaturkan oleh pihak
pentadbir sekolah. Iklim sekolah yang baik dilihat juga dengan adanya perasaan
kekitaan di kalangan murid-murid dan para guru dengan menganggap sekolah
sebagai sebuah keluarga yang mesra dan bahagia. Selain itu, kebersihan,
keindahan sekolah, keselesaan dan keselamatan di sekolah memberikan kesan
kepada penghasilan sebuah sekolah berkesan.
3. Keberkesanan pengajaran
Faktor yang ketiga ialah dari segi keberkesanan
pengajaran. Ini merangkumi pengajaran guru di dalam kelas di mana pelbagai
kaedah pengajaran digunakan di samping alat bantu mengajar, serta pakar di
dalam bidang masing-masing. Menurut Slavin (1978), empat faktor yang
mempengaruhi pengajaran berkesan iaitu kualiti pengajaran, kesesuaian aras
pengajaran, insentif dan masa. Pengajaran guru perlu menyeronokkan dan mudah
difahami oleh pelajar serta pelajar diberikan masa untuk belajar. Guru perlu
memberikan kesamarataan peluang tanpa mengira latar belakang pelajar berkenaan.
Kesimpulan
Bagi menghasilkan sebuah sekolah berkesan, ketiga-tiga faktor yang dibincangkan di atas
perlu di integrasikan bersama. Pengetua berperanan untuk memastikan guru-guru
menyampaikan pengajaran yang berkesan di sekolah. Kepimpinan pengetua yang
tegas, bermatlamat dan berwawasan akan
dapat mengubah sebuah sekolah kerana pengetua perlu menggerakkan semua ahli di
dalam organisasi sekolah untuk melakukan perubahan di sekolah seterusnya
membentuk sekolah berkesan.
No comments:
Post a Comment