Inspiring Quotes, Inspiration Quotes, Inspiring Sayings

Friday, April 26, 2013

Ulasan Artikel 1: Amalan Kepimpinan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di Malaysia oleh Jamilah Ahmad dan Yusoff Boon, Fakulti Pendidikan, UTM, Johor

Anda dikehendaki mengkritik 5 artikel yang dipilih dari segi kaedah penyelidikan,  objektif kajian, soalan kajian,  dapatan kajian & analisis kajian dan sebagainya.

Ulasan 1: Amalan Kepimpinan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di Malaysia oleh Jamilah Ahmad dan Yusoff Boon, Fakulti Pendidikan, UTM, Johor

Pendahuluan
Sekolah Berprestasi Tinggi merupakan sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti yang tersendiri dan unik serta menyerlah dari semua aspek pendidikan dan mampu berdaya saing di peringkat dunia. Kejayaan sesebuah sekolah terletak kepada keberkesanan seluruh sistem, nilai, kepercayaan, iklim, semangat dan budaya yang diamalkan oleh warga sekolah, di samping pengaruh pengetua untuk memacu kecemerlangan dan kejayaan sesebuah organisasi sekolah.
Artikel yang bertajuk Amalan Kepimpinan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di Malaysia telah ditulis oleh Jamilah Ahmad dan Yusoff Boon dari Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia, Johor. Artikel ini telah diterbitkan di dalam Journal of Edupress, pada September , 2011 volume 1. Artikel ini mengupas tentang kepimpinan pengetua di Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan kaedah-kaedah yang digunakan dalam kepimpinannya yang menyumbang kepada kecemerlangan sekolah.

Ulasan Kajian
Kajian di dalam jurnal ini bertujuan untuk mengenal pasti kepimpinan pengetua atau guru besar di Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan kaedah-kaedah yang digunakan dalam kepimpinannya yang menyumbang kepada kecemerlangan sekolah.

Kajian ini memfokuskan kepada kepimpinan sekolah di Malaysia dan secara khususnya kepada pemimpin sekolah di sekitar Johor. Objektif kajian yang ingin diketahui ialah mengenal pasti ciri-ciri dan amalan pengetua di dua buah SBT d Johor, mengenal pasti kaedah pengetua SBT membentuk visi dan strategi kepada peningkatan sekolah, mengenal pasti kaedah yang digunakan oleh pengetua SBT untuk membina hubungan dengan pihak dalaman dan luaran sekolah, mengetahui strategi yang digunakan oleh pengetua SBT dalam melaksanakan pembangunan profesional di sekolah, mengenal pasti kaedah yang digunakan oleh pengetua SBT dalam menstrukturkan organisasi yang menyokong kepada peningkatan kecemerlangan sekolah , mengenal pasti kaedah yang digunakan oleh pengetua SBT dalam mengurus program instruksional sekolah dan membentuk model kepimpinan SBT di Malaysia.
Kajian yang dijalankan berbentuk kualitatif yang melibatkan kajian kes dengan menggunakan soalan temu bual, pemerhatian, pemeriksaan dokumen-dokumen dan laporan di dua buah SBT. Dalam kajian ini, pemerhatian yang menyeluruh telah dijalankan ke atas seorang pengetua, seorang guru penolong kanan, 3 orang guru, seorang kakitangan sokongan,  dua orang pelajar, tiga orang ibu bapa yang merupakan AJK PIBG dan seorang pengerusi Persatuan Ibu Baba dan Guru (PIBG) bertujuan mendapatkan maklumat dari pelbagai perspektif dan menyumbang kepada dapatan tentang kepimpinan pengetua di sekolah yang dikaji.

Dapatan Kajian
Hasil kajian yang diperoleh adalah menepati kaedah kepimpinan yang dicadangkan oleh Leithwood et all (2007). Leithwood et all berpendapat bahawa sekolah yang berjaya dan berprestasi tinggi adalah sekolah yang menitikberatkan kepada orientasi proses dan orientasi pencapaian murid-murid serta pencapaian organisasi sekolah. Orientasi pencapaian murid bermaksud ialah penekanan kepada kejayaan pelajar-pelajar dan kemenjadiannya, manakala orientasi proses adalah kaedah-kaedah untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan sekolah dan pelajar seperti mempunyai visi yang jelas dan strategik, kepimpinan yang cemerlang, keadaan persekitaran yang positif, proses pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti dan berkesan,  pembangunan profesional, penglibatan semua pihak untuk membuat keputusan dan wujud hubungan serta kerjasama yang sihat dan kukuh dari semua pihak sama ada pihak dalaman yang terdiri dari guru-guru dan kakitangan sokongan serta pihak luaran yang terdiri dari ibu bapa dan komuniti setempat.

Isu dalam Kajian
Kepimpinan yang berjaya di kalangan pemimpin sekolah adalah kepimpinan Transformasional. Leithwood et all 2003, 2009. Kepimpinan ini menegaskan kepada kepentingan menentukan arah dan matlamat, membangunkan manusia, menstruktur organisasi dan menguruskan program instruksional.  Menurut Sergiovanni (2001), kepimpinan Transformasi memfokuskan kepada memenuhi keperluan orang bawahan dan membantu mereka mencapai potensi diri yang lebih tinggi di mana konsep kepimpinan ini mementingkan “empowerment” berkarisma, pemimpin dan guru-guru mempunyai ikatan intrinksik. Bagi peringkat penambahbaikan sekolah, kepimpinan Transformasi menggalakkan pengurusan diri dengan menukar setiap penambahbaikan di sekolah sebagai satu rutin. Memenuhi keperluan sekolah, sedia berkhidmat, menjaga nilai, dan menghubungkan manusia dengan struktur idea sebagai panduan untuk melaksanakan tugas

Penutup
Kejayaan sesebuah sekolah yang berjaya dan berprestasi tinggi diperoleh dengan usah-usaha berterusan oleh semua pihak termasuk pentadbir, guru-guru, kakitangan sokongan, pelajar, para ibu bapa dan pihak komuniti. Faktor kepimpinan pengetua adalah salah satu faktor utama yang mendorong kepada pencapaian yang cemerlang sesebuah sekolah.

Wednesday, April 24, 2013

Konsep Penambahbaikan Sekolah


Konsep Penambahbaikan Sekolah 
by Dr. Zuraidah Binti Abdullah . - Sunday, 24 March 2013, 8:43 AM

"If you put a frog in water and slowly heat it, the frog will eventually let itself be boiled to death. We too, will not  survive if we dont respond to the radical way in which the world is changing" Charles Handy...

Pernyataan ini menunjukkan jika kita tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku yang sentiasa  menekan diri sendiri, kita akan  mati. Ini menggambarkan keadaan di sekolah yang perlu menangani kehendak masyarakat.
Soalannya apakah perubahan pada hari ini yang memerlukan warga sekolah berubah? Adakah sekolah anda memastikan perkara ini berlaku sekiranya anda seorang pemimpin sekolah?
dan Apakah yang anda faham dengan sekolah berkesan dan penambahbaikan sekolah?

______________________________________________

Penambahbaikan sekolah dilihat sebagai salah satu pendekatan dalam melakukan perubahan dalam pendidikan melalui pelaksanaan objektif jangka panjang. Ianya juga didefinisikan sebagai pendekatan menghadapi perubahan pendidikan yang dapat meningkatkan prestasi pelajar dalam dan menguatkan kapasiti sekolah dalam mengendalikan perubahan. (Abdul Ghani Abdullah, Kepimpinan dan penambahbaikan Sekolah)
Di dalam konteks MRSM, penambahbaikan sekolah adalah perkara yang perlu dilakukan secara berterusan. MRSM secara umumnya menerima pelajar-pelajar yang mempunyai kebolehan di dalam bidang akademik dan seterusnya pelajar-pelajar ini diberikan kemahiran generik seperti kemahiran berfikir, kemahiran amalan belajar, ICT, keusahahawan dan sebagainya. Ini merupakan antara usaha bagi melahirkan pelajar yang seimbang dari jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial mengikut Falsafah Pendidikan Kebangsaan. 
 Salah satu penambahbahbaikan yang telah pun dilaksanakan di MRSM Tun Ghafar Baba diantaranya adalah memperkenalkan  pelajar- pelajar kepada penyelidikan ( R & DI). Program ini telah dilaksanakan pada tahun 2010 merupakan kesinambungan dari program SEM (School Enrichment Model) yang dijalankan di maktab pada setiap tahun. Program ini merupakan platform bagi pelajar untuk memperkembangkan lagi di mana projek-projek  sains (Kimia, Fizik, Biologi) , sains komputer dan rekacipta yang mempunyai potensi untuk diketengahkan dengan menggalakkan pelajar-pelajar membuat penyelidikan lanjut dengan bantuan universiti-universiti tempatan. Seterusnya, projek-projek ini di hantar untuk menyertai pertandingan di luar negara. Pihak maktab telah memberikan sokongan kepada jawataankuasa R & DI dengan menyediakan sebuah pusat R & DI sekolah dan membantu dari segi kewangan di dalam melaksanakan program ini. Hasilnya adalah amat menggalakkan di mana ramai kumpulan pelajar dari maktab ini telah memenangi pingat sama ada emas, perak atau gangsa pertandingan luar seperti I-SWEEP (Texas) , INEPO (Turki) dan INEPO Euroasia (Azerbaijan) , Infomatrix (Romania), ESI, dan lain-lain lagi. Apa yang penting bagi saya ialah bagaimana semua ini boleh memberikan pelajar-pelajar pengalaman untuk melakukan penyelidikan, di mana sepanjang proses yang berlaku ini sebenarnya merupakan satu proses pembelajaran bagi pelajar-pelajar yang tidak akan mereka jumpa di dalam bilik darjah. 
Penulis sebagai guru penasihat projek bersama pelajar MRSM TGB di pertandingan INEPO -EuroAsia 2011 di mana MRSM TGB berjaya mendapat 1 emas dan 1 perak. 

 Guru-guru juga perlu berubah, Pengajaran berbentuk konvensional tidak lagi releven di era sekarang berbanding 10 tahun yang lepas. Kemajuan teknologi menyebabkan penggunaan ICT di dalam bilik darjah semakin diterima oleh warga maktab di sekolah saya. Terbaru pihak pentadbiran telah pun melengkapkan projektor LCD pada semua makmal sains dan jawatankuasa ICT maktab juga sedang berusaha untuk meluaskan jaringan internet  tanpa wayar ke bangunan akademik bagi memberikan kemudahan kepada pelajar-pelajar dan guru menggunakan ICT di dalam mempelbagaikan teknik dan strategi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dan di makmal. Guru boleh menunjukkan pelbagai contoh bahan pengajaran yang boleh didapati dari internet terus ke dalam bilik darjah.  Pengajaran guru perlu berpusatkan kepada pelajar di mana pelajar diberikan aktiviti-aktiviti yang melibatkan aras tinggi seperti aplikasi, analisis dan sintesis agar mereka belajar bagaimana untuk belajar. Pelajar perlu diberikan kepercayaan yang mereka mampu melakukannya.

Di MRSM Tun Ghafar Baba, saya dapati walaupun sebahagian besar guru-guru merupakan guru senior, namun mereka tetap berupaya untuk menangani perubahan yang berlaku malah sanggup untuk belajar bagi menerima perubahan terutama belajar menggunakan peralatan ICT. Pada awal penggunaan peralatan ICT ini beberapa tahun lepas, walaupun masih tidak mahir, guru-guru masih lagi cuba mengunakannya di dalam P & P bagi memberikan variasi di dalam pengajaran dan apabila ini diimplentasikan di dalam kelas, pelajar menjadi kagum kerana guru boleh menggunakan peralatan ICT malah pelajar-pelajar ini merasa bangga apabila dapat membantu guru-guru untuk menggunakan peralatan -peralatan ICT ini.

Kesimpulannya, perubahan sentiasa berlaku dan sebagai guru kita perlu mengikuti arus perubahan bagi memastikan kerjaya guru tetap releven. Perubahan kecil yang dilakukan sebenarnya memberikan impak yang besar kepada keberkesanan sekolah.




Iklim sekolah berkesan pemangkin kecemerlangan


Iklim sekolah ialah sifat dan suasana yang ada di sekolah dengan membezakannya dengan sekolah yang lain. Sifat dan suasana yang ada di sekolah  adalah hasil interaksi antara guru dan pelajar serta masyarakat yang terdapat di sekolah itu secara keseluruhannya. Iklim dan budaya sekolah sekolah merujuk kepada sejumlah nilai, budaya, amalan-amalan yang di lakukan di dalam organisasi sekolah yang mempengaruhi dan memberi kesan kepada proses pembentukan tingkah laku dan keselamatan pelajar di sekolah. Kaedah pembelajaran dan pengajaran, keterbukaan dan bentuk hubungan yang wujud antara pentadbir, guru, ibu bapa dan pelajar menyumbang kepada iklim sekolah yang berkesan. Secara mudahnya, iklim sekolah merujuk kepada kesan persekitaran sekolah ke atas pelajar manakala budaya sekolah merujuk kepada cara dan gaya guru dan staf bekerja dalam satu kumpulan.
Guru dan staf bersama-sama di dalam aktiviti maktab yang dijalankan tanpa mengira kedudukan

Barisan guru-guru MRSM Tun Ghafar Baba yang komited 
Pelajar-pelajar yang di didik sahsiahnya

 Bagi membentuk iklim sekolah yang berkesan,  antara ciri-ciri yang perlu ada pada sesebuah sekolah di antaranya ialah kawasan sesebuah sekolah perlulah cantik, selamat dan cukup untuk ruang belajar. Pelajar boleh menggunakan dengan maksimum kemudahan sekolah. Gaya kepimpinan pengetua juga menyumbang kepada iklim sekolah dengan mengamalkan komunikasi terbuka bersama guru dan pelajar. Guru pula mempunyai komitmen yang tinggi dalam menyampaikan pengajaran dan pembelajaran di mana kawalan pelajar adalah tinggi. Sikap pelajar yang positif apabila sikap dan sahsiah mereka di jaga dan di didik dengan norma-norma yang baik seperti memberi salam kepada orang yang lebih tua serta tidak membuang sampah merata-rata tempat.  Selain itu wujud semangat kekitaan di kalangan guru-guru dan pelajar yang menerima sekolah sebagai sebuah keluarga yang mesra dan bahagia. Apabila terdapat masalah, pentadbir dan guru sama-sama menyelesaikan masalah dan tidak menuding jari kepada satu sama lain. Para guru bersifat profesional dan komited dalam tugas harian mereka. Guru-guru memahami bahawa tugas utama di sekolah adalah berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran.  Kesemua ciri-ciri ini boleh mewujudkan iklim sekolah yang berkesan.

Keberkesanan sekolah dari segi perbelanjaan pendidikan bagi seorang pelajar MRSM


Keberkesanan sekolah dari segi perbelanjaan pendidikan bagi seorang pelajar
by Dr. Zuraidah Binti Abdullah . - Monday, 25 March 2013, 10:08 AM

Bagaimana anda dapat mengukur perbelanjaan yang telah diberikan oleh pihak Mara kepada pelajar2 MRSM? Adakah perbelanjaan yang diberikan itu telah dapat menghasilkan kualiti pendidikan yang tinggi kepada negara? 

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 dan Pelan Pembangunan Pendidikan  (2013-2025) adalah antara pelan jangka panjang yang telah disediakan oleh kerajaan bagi menghasilkan pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia bagi menghasilkan modal insan yang boleh bersaing dengan pelajar-pelajar dari luar negeri. Hal ini juga tidak terkecuali bagi pihak MARA yang bertanggungjawab sepenuhnya memberikan pendidikan yang terbaik kepada pelajar-pelajar MRSM. Selaras dengan hasrat kerajaan, MARA melalui MARA, The Way Forward telah menggariskan langkah-langkah yang ingin dicapai bagi melahirkan modal insan berkualiti tinggi di samping mempunyai sifat keusahawanan di mana pelajar-pelajar ini bukan sahaja boleh menjana ekonomi dengan menjawat jawatan yang penting malahan mereka bakal boleh membuka peluang pekerjaan kepada orang lain. Justeru itu tidak hairanlah MARA telah mengeluarkan belanja yang sangat besar kepada pelajar-pelajar MRSM bagi mencapai hasrat MARA ini. 

MRSM pada awal penubuhan mempunyai agenda untuk meningkatkan bilangan profesional melayu pada era 70an. Ini selaras dengan agenda kerajaan yang ingin merapatkan jurang ekonomi di antara bumiputera dan bukan bumiputera pada masa itu. Selain itu juga ingin melahiran ramai usahawan bumiputera yang boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain. Sehingga kini pendidikan MRSM masih lagi releven di mana buktinya jumlah MRSM di seluruh Malaysia telah bertambah sehingga 48 buah pada masa kini.  Banyak program-program yang berbentuk akademik, bukan akademik, program berbentuk keusahawanan, di samping kurikulum terbeza di mana adanya kurikulum untuk Program Khas Pendidikan, kurikulum Ulul Albab, kurikulum IGCSE, smart school dan sebagainya yang mana kesemuanya di bangunkan untuk menghasilkan pelajar-pelajar yang cemerlang bukan sahaja dari segi akademik, tetapi juga dari segi sahsiah, jasmani, sosial dan kerohanian. Ini terbukti setiap kali keputusan PMR dan SPM , MRSM sentiasa berada di hadapan walaupun kejayaan itu jarang dipaparkan di dada akhbar. Namun itu semua tidak menjadi kudis malah memberikan semangat kepada warga MRSM untuk terus  maju dan cemerlang.

Bilangan MRSM yang semakin bertambah di mana kini berjumlah 48 buah menunjukkan MRSM telah menjadi pilihan pendidikan oleh ramai ibu bapa yang kini semakin "demanding" di dalam menentukan hala tuju pendidikan anak mereka masing-masing. Pelbagai aktiviti terkini seperti program-program pengantarabangsaaan, program -program berbentuk khidmat masyarakat di terapkan kepada jiwa anak-anak MARA agar dapat mengasah bakat kepimpinan di samping emosi dan rohani agar mempunyai jiwa dan sahsiah yang cemerlang seiring dengan kecemerlangan di dalam bidang akademik. Pendidikan kerohanian juga diterapkan di mana pelbagai program berbentuk kerohanian dilaksanakan di asrama bagi menyiapkan pelajar menghadapi dunia luar yang sangat kompleks. Saya yakin ibu bapa sedar dengan jumlah yuran yang dibayar oleh ibu bapa  sebenarnya amat berbaloi kerana anak-anak ini mendapat begitu banyak manfaat di mana mereka membentuk sahsiah dan jati diri di MRSM apabila mereka meneruskan pengajian tinggi di luar negara nanti.

Melalui program Skim Pelajar Cemerlang (SPC), mungkin telah berbilion ringgit Malaysia yang telah dibelanjakan kepada pelajar-pelajar ini melanjutkan pelajaran di universiti-universiti terkemuka dunia sama ada di United Kingdom, Russia, US, Ireland dan banyak lagi. Kesemua perbelanjaan yang dikeluarkan ini adalah berbaloi untuk menjayakan  pendidikan bermutu yang mana pada akhirnya, masyarakat bakal mendapat pulangan hasil yang lebih tinggi termasuk penjimatan kos pengurusan negara. Negara maju yang ingin dicapai hanya boleh diperoleh dengan melahirkan ramai modal insan yang berkualiti tinggi yang dapat memacu ekonomi negara supaya setara dengan negara-negara maju yang lain. Mereka inilah diharapkan apabila kembali ke negara Malaysia kelak dapat menjana ekonomi negara dengan kepakaran yang mereka peroleh serta membina negara Malaysia menjadi negara maju. Jika ini berlaku, saya berpendapat perbelanjaan yang dikeluarkan oleh MARA adalah berbaloi kerana berupaya menghasilkan kualiti pendidikan yang tinggi di Malaysia. 


Tuesday, April 23, 2013

Ciri iklim sekolah berkesan


BUDAYA CEMERLANG-
by Dr. Zuraidah Binti Abdullah . - Saturday, 23 March 2013, 11:11 PM

Iklim dan budaya sekolah adalah penting untuk memacu kecemerlangan sekolah. Bagaimanakah anda sebgai pemimpin memastikan budaya sekolah cemerlang diamalkan oleh warga sekolah anda?

Konsep sekolah berkesan oleh Peter Mortimore (1995) di dalam kertas kerja Key Characteristics of Effective Schools telah menyenaraikan 11 ciri sekolah berkesan iaitu
      a.       Kepimpinan profesional
      b.      Perkongsian visi dan matlamat
      c.       Kewujudan budaya pembelajaran
      d.      Penumpuan terhadap pengajaran dan pembelajaran
      e.      Pengajaran bermatlamat
      f.        Pengharapan yang tinggi
      g.       Pengukuhan yang positif
      h.      Pemantauan terhadap perkembangan
       i.        Hak dan tanggungjawab murid
       j.        Permuafakatan rumah-sekolah
       k.       Organisasi dinamik

Antara ciri penting yang dinyatakan sebenarnya berkaitan dengan iklim sekolah. Iklim sekolah memainkan peranan di dalam pembentukan sebuah sekolah yang berkesan.  Keadaan atau suasana sekolah yang tenang dan nyaman, sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran di anggap sebagai iklim sekolah yang berkesan.  Howard (1974) mendefinisikan iklim sekolah sebagai keadaan sosial dan budaya sekolah yang mempengaruhi tingkah laku orang di dalamnya.  Menurut Halpin dan Croft (1963), iklim sekolah berkesan mempunyai ciri-ciri seperti di bawah iaitu:
  1. Guru merasa selamat, berpuas hati dan berkeyakinan
  2. Guru-guru tidak merasa tertekan dan mengambil perhatian tentang kemajuan pelajar-pelajarnya.
  3. Pengetua merasa yakin terhadap kerjanya dan bertimbang rasa
  4. Pelajar merasa selamat dan belajar bersungguh-sungguh.

Ciri lain termasuklah mewujudkan integrasi dan keharmonian sesama pelajarnya yang berbeza status sosio-ekonomi selain mewujudkan kerjasama dengan keluarga pelajar dengan adanya hubungan ibu bapa-guru yang rapat.

Kajian-kajian lain juga telah menunjukkan bahawa iklim sekolah akan mewujudkan suasana pembelajaran yang bermotivasi dan seterusnya membantu pelajar memperoleh pencapaian yang lebih baik dan guru-guru akan  mendapat kepuasan bekerja.  Kaitan ini menunjukkan bahawa terdapat hubung kait yang rapat antara iklim sekolah dengan kejayaan pelajar. Saya bersetuju dengan pendapat ini kerana ia terbukti berlaku di MRSM Tun Ghafar Baba.  Guru-guru merasa selamat , berpuas hati dan berkeyakinan di dalam pengajaran dan pembelajaran, wujud perasaan hormat-menghormati di kalangan guru, ada semangat “kekitaan” dan kejelekitan walaupun berbeza unit, ada hubungan yang sangat rapat di antara ibu bapa dan guru dengan eratnya kerjasama badan MUAFAKAT, komunikasi yang baik dengan sokongan dari pengetua yang percaya dengan komitmen guru-guru, sokongan dari kumpulan staf sokongan dalam penyediaan bahan P&P, serta pelajar-pelajar yang menjaga nama baik kohort masing-masing. Budaya yang ada di MRSM Tun Ghafar Baba bukan dibentuk dalam masa semalam, ia telah ada asas yang kukuh seawal tahun 2000 apabila pengetua yang berwibawa dan bermotivasi tinggi bertugas di MRSM Jasin pada ketika itu sehingga melonjakkan nama MRSM Jasin menjadi terbaik Malaysia pada SPM tahun 2001. Suasana sekolah yang kondusif dan aman ini di jaga agar melahirkan persekitaran yang harmoni dan melahirkan rasa kasih sayang, hormat-menghormati serta pelaksanaan aktiviti-aktiviti pendidikan yang bukan sahaja bersifat akademik tetapi juga yang melibatkan jati diri, sahsiah dan keagamaan  telah membawa kepada kejayaan sahsiah dan pencapaian cemerlang pelajar. 

Saturday, April 13, 2013

Kerangka Komprehensif untuk Penambahbaikan Sekolah Berkesan

Post kali ini mengupas artikel yang ditulis oleh Dr Rusmini bt Ku Ahmad, seorang pensyarah di Institut Aminuddin Baki. Beliau menulis artikel bertajuk Kerangka Komprehensif Untuk Penambahbaikan Sekolah Berkesan. Satu Kajian Eksploratori. Di dalam artikel beliau, antara lainnya beliau membincangkan tentang penambahbaikan sekolah, ciri-ciri sekolah berkesan dan bagaimanakah sekolah boleh melakukan penambahbaikan dan seterusnya menjadi lebih berkesan.

Penambahbaikan sekolah bermaksud perubahan baru yang memberikan impak baru yang membuatkan sesebuah sekolah lebih berkesan. Penambahbaikan tidak dilihat dari sudut penambahan kepada perkara yang sedia ada yang mempunyai kelemahan tetapi lebih kepada membuat pembaharuan ke atas kelemahan tersebut. Penambahbaikan lebih kepada proses-proses yang dilakukan bagi melakukan pembaharuan pada sesebuah sekolah. Artikel ini menerangkan bahawa keberkesanan sekolah dan penambahbaikan sekolah merupakan dua bidang berbeza namu tidak boleh dipisahkan. Artikel ini akan membincangkan pembentukan kerangka komprehensif penambahbaikan sekolah berdasarkan kepada teori-teori serta kajian kes yang telah dilakukan pada lapan negara-negara kesatuan Eropah terpilih iaitu Belgium, England, Itali, Finland, Portugal, Greek, Belanda dan Sepanyol yang telah menunjukkan penambahbaikan keberkesanan sekolah.

Di dalam artikel ini, penulis menyatakan bahawa kajian kes yang dilakukan kepada setiap program sekolah dianalisi oleh kumpulan setiap negara dan juga negara-negara lain bagi menjamin ketekalan hasil analisis. (Wikely et.al, 2005).  Berdasarkan analisis teori yang digunakan di dalam kajian ini  iaitu perancangan sinoptik, mekanisme pasaran, cybernetics dan organisasi pembelajaran serta 'autopoiesis' serta analisis kajian kes di lapan negara kesatuan Eropah  berkenaan, maka satu kerangka komprehensif bagi penambahbaikan sekolah berkesan oleh Creemers dan Reezigt (2005) telah dibentuk seperti Rajah 1 dibawah.

Rajah1: Kerangka komprehensif untuk penambahbaikan sekolah berkesan
Kerangka di atas menunjukkan konsep penambahbaikan sekolah berada dalam konteks pendidikan bagi sesebuah negara. Penambahbaikan sekolah tidak boleh dikaji secara berasingan daripada konteks pendidikan (Lagerweij, 2001; Sun, 2003).

Penulis menyatakan dari kajian yang dijalankan didapati penambahbaikan sekolah akan berhadapan dengan konsep kontekstual seperti tekanan untuk melakukan penambahbaikan, keperluan sumber untuk penambahbaikan dan matlamat pendidikan. Beliau menyatakan juga terdapat tiga faktor faktor yang berkaitan dengan konteks iaitu tekanan kepada perubahan ,sumber dan hasil penambahbaikan sekolah .

Berikut merupakan isi kandungan artikel berkenaan dari dapatan kajian yang dilakukan.
Faktor tekanan ke arah penambahbaikan.
Menurut teori sekolah sebagai organisasi pembelajaran, sekolah menyatakan definisi keperluan perubahan organisasi, kemudian menyediakan strategi perubahan dan akhirnya menilai sama ada keperluan yang dinyatakan tercapai atau tidak. Namun begitu dalam situasi semasa sekolah memerlukan satu bentuk tekanan luar untuk melakukan penambahbaikan. Tekanan ini akan memberikan faedah kepada sekolah yang mampu berubah dan menerima perubahan dengan positif sebaliknya sekolah yang tidak mempunyai kemahiran dan kesediaan untuk berubah akan menghadapi masalah tambahan pula kurang sokongan diberikan oleh pelbagai pihak. Kajian menunjukkan empat faktor yang menggalakkan tekanan untuk perubahan iaitu:

i. Mekanisme pasaran
Pengaruh mekanisme pasaran berbeza antara negara-negara kesatuan Eropah yang menjalankan kajian penambahbaikan sekolah berkesan. Bagi kebanyakan negara faktor ini tidak dianggap membawa kesan yang positif (Cuban, 2003). Tetapi bagi negara-negara lain mekanisme pasaran seperti kebebasan memilih sekolah oleh murid-murid dan ibu bapa, penglibatan komuniti menyebabkan persaingan antara sekolah-sekolah. Persaingan menyemarakkan lagi keperluan untuk menggambarkan imej yang baik kepada pelanggan dan ini akan menggalakkan lagi penambahbaikan sekolah. Sepertimana yang berlaku di United Kingdom, budaya untuk melakukan perubahan adalah tinggi melalui persaingan untuk mendapatkan peruntukan berdasarkan pendaftaran secara terbuka di sekolah-sekolah dan prestasi sekolah dimaklumkan kepada ibubapa agar mereka dapat membuat pemilihan.

ii. Penilaian pihak luar dan akauntabiliti
Penilaian luar biasanya berdasarkan kepada hasil pencapaian murid terutama sekali apabila pencapaian sekolah dimaklumkan kepada masyarakat maka sekolah harus melakukan penambahbaikan. Terdapat juga negara seperti Finland yang tidak menjadikan penilaian berdasarkan kepada pencapaian murid. Sekolah dinilai berdasarkan fungsi dan proses. Begitu juga di Itali, guru-guru tidak dinilai berdasarkan pencapaian murid tetapi sebaliknya berdasarkan proses. Berbeza pula di Greek, di mana tidak ada penilaian luar secara formal namun begitu kejayaan murid diukur berdasarkan kepada peratus pelajar yang dapat memasuki universiti.

iii. Agen luar
Terdapat sekolah di beberapa buah negara yang melakukan penambahbaikan atas saranan daripada jemaah nazir, pembuat dasar, perunding pendidikan atau penyelidik. Sepertimana di United Kingdom, Belanda dan Sepanyol, jemaah nazir boleh mengenakan tekanan supaya sekolah melakukan perubahan. Bagi negara yang mempunyai sistem pendidikan yang berpusat seperti di Itali peranan agen luar dianggap sebagai kurang penting. Di Greek pula tidak terdapat jemaah nazir tetapi Kementerian Pelajaran merupakan agen luar utama yang menggalakkan penambahbaikan sekolah. Walaubagaimanapun kestabilan polisi juga adalah penting dalam proses penambahbaikan sekolah. Perubahan polisi yang kerap akan menambahkan beban kerja yang menyebabkan penurunan produktiviti.

iv. Perubahan masyarakat dan penyertaan masyarakat dalam pendidikan
Pengaruh masyarakat juga boleh menyebabkan sekolah terpaksa melakukan perubahan. Matlamat pendidikan bergantung kepada kehendak masyarakat dan ianya akan berubah apabila terdapat perubahan dalam kehendak masyarakat. Ini dapat dilihat dari segi pendidikan vokasional yang diwujudkan berdasarkan kepada keperluan ekonomi dan perdagangan. Perkembangan kemajuan ICT juga bukan sahaja menuntut perubahan dalam pengajaran dan pembelajaran tetapi juga meluaskan lagi matlamat pendidikan.

Keperluan Sumber
Bagi melakukan penambahbaikan di sekolah, keperluan sumber adalah penting. Sumber bukan sahaja boleh didapati dalam bentuk material tetapi juga dalam bentuk sokongan dalam proses penambahbaikan sekolah berkesan. Faktor yang dikenalpasti sebagai konsep sumber ialah:

i. Kuasa autonomi kepada sekolah
Tinjauan literatur penambahbaikan sekolah menunjukkan kuasa autonomi yang diberikan kepada sekolah boleh menyumbang kepada kejayaan sekolah sekiranya inisiatif yang dibuat sesuai dengan kehendak dan keperluan sekolah. Kuasa autonomi yang diberikan kepada sekolah mengandungi beberapa domain seperti matlamat pendidikan, kaedah pengajaran dan pembelajaran, pentadbiran dan pengurusan serta kewangan.

ii. Sumber kewangan dan persekitaran kerja guru serta sekolah
Proses penambahbaikan sekolah bergantung juga kepada sumber kewangan dan persekitaran kerja guru serta sekolah. Dengan sumber kewangan serta masa yang mencukupi maka proses penambahbaikan akan menjadi lebih mudah. Begitu juga dengan bilangan guru, beban kerja guru, saiz kelas mempengaruhi motivasi mereka dalam proses penambahbaikan sekolah. Di Finland, kesatuan guru boleh menggalak atau menghalang usaha penambahbaikan oleh kerana mereka menyokong kestabilan staf dan mengurangkan beban kerja. Di Belanda pengurangan saiz kelas yang kecil terutamanya di sekolah rendah boleh meningkatkan keberkesanan sekolah sementara di Portugal, struktur kerjaya guru dan keperluan latihan dalaman merupakan kunci utama dalam penambahbaikan sekolah. Sokongan daripada komuniti boleh membantu menambahbaik sekolah. Sementara sokongan kementerian merupakan asas kepada penambahbaikan, pengaruh komuniti merupakan faktor secara langsung.

Matlamat Pendidikan
Walaupun sekolah menetapkan sasaran tertentu untuk penambahbaikan secara spesifik namun matlamat-matlamat lain juga dalam konteks pendidikan boleh diukur. Di Belanda matlamat utama bagi setiap mata pelajaran di sekolah adalah didefinisikan bagi peringkat rendah dan menengah. Di United Kingdom kerajaan telah menetapkan matlamat kebangsaan, daerah dan sasaran sekolah dalam mata pelajaran yang utama. Di Greek pula matlamat kebangsaan untuk semua sekolah disediakan dan dijelaskan dalam kurikulum kebangsaan.

Kajian-kajian terdahulu menunjukkan penambahbaikan sekolah berkesan melibatkan proses-proses peringkat sekolah. Walaupun guru merupakan pemangkin perubahan dalam bilik darjah secara terus tetapi bagi menambahbaik sekolah inisiatif guru secara individu adalah tidak mencukupi. Penambahbaikan yang dilakukan oleh seorang guru akan hilang sekiranya guru bertukar kecuali sekolah dapat memantapkan budaya penambahbaikan. Oleh itu kajian-kajian penambahbaikan sekolah kebanyakkanya melibatkan sekolah sebagai unit analisis. Pada peringkat sekolah kajian penambahbaikan sekolah berkesan telah mengenal pasti tiga konsep iaitu:

a. Budaya penambahbaikan
b. Proses penambahbaikan
c. Hasil penambahbaikan

Konsep ini merupakan kunci utama kepada penambahbaikan sekolah. Budaya boleh digambarkan sebagai latar belakang dan proses-proses yang berlaku di dalamnya serta hasil merupakan matlamat utama dalam proses-proses itu. Ketiga-tiga elemen ini adalah saling berkait antara satu sama lain.

Budaya penambahbaikan
Budaya penambahbaikan merupakan asas kepada semua proses penambahbaikan di sekolah. Kajian telah mengenal pasti sembilan faktor yang menyumbang kepada budaya penambahbaikan sekolah iaitu tekanan dalaman untuk penambahbaikan, autonomi yang diberikan kepada sekolah, perkongsian visi, kesanggupan menjadi organisasi pembelajaran, sejarah penambahbaikan, perasaan kesepunyaan, kepimpinan, kestabilan staf dan masa.

Proses Penambahbaikan
Penulis berkata, sekolah yang dinamik menganggap penambahbaikan sebagai satu proses yang berterusan. Sebahagian sekolah menganggap penambahbaikan adalah proses yang berbeza. Masalah diselesaikan apabila ianya timbul. Kajian menunjukkan lima peringkat dalam proses penambahbaikan iaitu:

a. Penilaian keperluan untuk penambahbaikan
b. Diagnosis keperluan penambahbaikan dan menetapkan matlamat
c,  Merancang aktiviti penambahbaikan
d.  Implementasi
e.  Penilaian dan refleksi

Hasil penambahbaikan
Usaha untuk melakukan penambahbaikan berfokus kepada beberapa matlamat yang jelas untuk dicapai dalam masa tertentu. Matlamat penambahbaikan sekolah berkesan harus dinyatakan dalam bentuk hasil pembelajaran murid atau dalam bentuk faktor yang merupakan kunci kepada kejayaan muid seperti faktor guru dan sekolah (Hopkins, 1995). Ini bermakna sekolah yang ingin melakukan penambahbaikan harus menumpukan kepada dua jenis matlamat iaitu:

i. Matlamat yang dinyatakan secara eksplisit berhubung dengan hasil pembelajaran murid yang merangkumi pengetahuan , kemahiran dan sikap dan tidak hanya mengukur kemahiran kognitif sahaja.

ii. Matlamat yang berfokus kepada perubahan. Matlamat ini merangkumi perubahan dalam organisasi sekolah, tingkahlaku guru atau bahan-bahan pembelajaran yang digunakan. Hasil pembelajaran murid masih menjadi keutamaan namun usaha penambahbaikan yang mendatangkan hasil kejayaan kepada sekolah juga boleh dijadikan matlamat untuk mengukur proses.

Fungsi kerangka penambahbaikan sekolah berkesan
Kerangka penambahbaikan sekolah berkesan yang telah dibincangkan adalah berasaskan kepada gabungan idea dan konsep daripada pelbagai teori serta dapatan daripada kajian-kajian kes. Kerangka ini boleh digunakan dalam konteks pendidikan mengikut kesesuaian di negara masing-masing. Kerangka ini boleh digunapakai oleh pelaksana, penyelidik dan pembuat dasar. Kerangka ini memberikan gambaran kepada pelaksana mengenai keseluruhan faktor-faktor yang boleh membantu atau menghalang penambahbaikan sekolah. Walaubagaimanapun sekolah harus mentafsirkan faktor-faktor dalam kerangka ini mengikut situasi dan kesesuaian dengan keperluan masing-masing.

Bagi penyelidik kerangka ini boleh menyediakan asas untuk kajian selanjutnya mengenai penambahbaikan sekolah berkesan. Beberapa pembolehubah boleh dipilih untuk dikaji dan beberapa hipotesis boleh dijanakan daripada kerangka ini. Pembuat dasar dapat menggunakan kerangka ini dalam menyediakan perancangan dalam proses penambahbaikan sekolah. Ianya juga dapat membantu pembuat-pembuat dasar melihat kepentingan penambahbaikan sekolah kepada hasil pembelajaran murid dan juga bagaimana kuatnya pengaruh konteks terhadap sekolah.

Penutup
Kerangka komprehensif penambahbaikan sekolah berkesan telah dibina berdasarkan teori-teori perancangan sinoptik, mekanisme pasaran, ‘cybernetics’dan organisasi pembelajaran serta ‘autopoiesis’ dan analisis kajian-kajian kes di lapan buah negara kesatuan Eropah iaitu Belgium, England, Itali, Finland, Portugal, Greek, Belanda dan Sepanyol. Secara keseluruhannya kerangka ini dapat mencetuskan perdebatan serta perbincangan berhubung dengan penambahbaikan sekolah berkesan. Ianya juga dapat menjelaskan perbezaan faktor-faktor penambahbaikan mengikut perbezaan konteks sesebuah negara. Selain daripada itu kerangka ini juga boleh dijadikan garis panduan untuk perancangan, rekabentuk, implementasi, penilaian serta refleksi ke atas projek penambahbaikan dan kajian penambahbaikan sekolah berkesan. Namun begitu fungsi kerangka ini bergantung kepada konteks ianya digunakan dan individu atau pihak yang menggunakannya.

Rujukan
Carneiro, R. (1994). The evolutionary dynamics of education systems: Exposition on
institutional development. Paris, France: UNESCO, International Commission on Education for the Twenty-First Century.

Creemers, M., & Reezigt, G. (2005). A comprehensive framework for effective school
improvement. School Effectiveness and School Improvement, 4, 407-424.

Cuban, L. (2003). Why is it so hard to get good schools? New York: Teachers College
Press.

Gray, J., Goldstein, H. &Jesson, D. (1996). Changes and improvement in school
Effectiveness:Trends over five years, Research paper in education 11(1):35-51.

Gray, J., Reynolds, D., Fitz-Gibbon, C.T., & Jesson, D.(1996). Merging Traditions: The
future of research on school and school improvement. London: Cassell.
                                    
Gray, J., Hopkins, D., Reynolds, D., Wilcox, B., Farrell, S., & Jesson, D. (1999).
Improving schools:Performance and potential. Buckingham, UK: Open University Press.

Hopkins, D. (1995). Towards effective school improvement. School Effectiveness and
School Improvement, 6, 265 – 274.

Hopkins, D. (2001) School improvement for real. London: RoutledgeFalmer.

Hopkins, D., Ainscow, M., & West, M. (1994). School improvement in an era of
change. London:Cassell.

Hopkins, D., & Lagerwelj, N.(1996). Making good schools:Linking school
effectiveness and school improvement.London: Routledge.

Jakobsen, L., MacBeath, J., Meuret, D., & Scratz, M. (1998, April). Evaluating quality
in 101 schools. Paper presented at the Annual Meeting of the American Educational Research Association, San Diego, CA.

Kickert, W. J. (1993). Autopoiesis and the science of (public) administration: Essence,
sense and nonsense. Organization Studies, 2, 261 – 278.

Lagerweij, N. A. J. (2001). In Creemers, M., & Reezigt, G. A comprehensive
framework for effective school improvement. School Effectiveness and School Improvement, 4, 407-424.


MacBeath, J., & Mortimore, P. (2001). Improving school effectiveness. Buckingham,
UK: Open University Press.

Morgan, G. (1986). Images of organizations. Beverly Hills, CA: Sage.

Palincsar, A. S., & Brown, A. L. (1992). Classroom dialogues to promote self-regulated
comprehension. In J. Brophy (Ed.), Advances in research on teaching (Vol. 1, pp. 35 – 72).Greenwich, CT: JAI Press.

Reynolds, D., Hopkins, D & Stoll, L.(1993). Linking school effectiveness knowledge
and school improvement practice: Towards a synergy , School Effectiveness and School Improvement 4(1): 37-58.

Scheerens, J.& Demeuse, M. (2005). The theoretical basis of the effective school
improvement model. School Effectiveness and School Improvement, 4, 373-385.

Stoll, L., & Fink, D. (1996). Changing our schools: Linking school effectiveness and
school improvement.Buckingham, UK: Open University Press.

 Sun, H. (2003). National contexts and effective school improvement. Groningen,
The Netherlands:University of Groningen/GION.

West, M.D. & Hopkins, D.(1995). Re emphasizing school effectiveness and school
improvement. In Harris, A., Bennett, N. School effectiveness and school improvement: Alternative perspectives. London:Continum

Wikely, F., Stoll,L.,Murillo,J. (2005). Evaluating effective school improvement: Case
studies of programmes in eight european countries and their contribution to the effective school improvement model. School Effectiveness and School Improvement, 4, 387-405.

Monday, April 1, 2013

Bagaimana membangunkan sebuah sekolah menjadi sekolah berkesan?

Anda telah dilantik sebagai pengetua di sebuah sekolah menengah yang dianggap sebagai sekolah yang bermasalah. Anda di arahkan untuk menyediakan kertas cadangan kepada pegawai di Bahagian Pendidikan Menengah MARA (BPM) tentang apakah perancangan anda dalam membangunkan sekolah ini menjadi sekolah berkesan melalui pembentukan visi dan misi sekolah yang berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, matlamat dan misi MARA. Rancang dan huraikan dengan jelas bagaimana anda dapat membantu sekolah tersebut menjadi sekolah berkesan di peringkat daerah, negeri dan negara.

Anda ada idea? Boleh kongsikan bersama saya...untuk sama-sama kupaskan isu ini. 

Pembentukan Kerangka Teori Sekolah Cemerlang

Artikel ini ditulis oleh Dr Shahril@Charil Hj Marzuki di dalam Jurnal Masalah Pendidikan Universiti Malaya Jilid 27.

Artikel ini meneroka pembentukan kerangka teori bagi keberkesanan dan kepimpinan sesebuah sekolah berkesan. Sesebuah sekolah dianggap berkesan dengan empat  faktor iaitu kesesuaian pengetua, kesediaan guru, kesediaan pelajar dan kemudahan infrastruktur yang lengkap. Sekolah yang tidak berkesan adalah sekolah di mana pengetua mereka tidak sesuai, guru-guru yang kurang persediaan untuk mengajar, pelajar yang tidak bersedia untuk belajar dan infrastruktur sekolah tidak mencukupi, manakala di sekolah-sekolah yang paling berkesan, perkara yang sebaliknya berlaku. Artikel ini memberikan cadangan untuk mengubah sekolah tidak berkesan menjadi sekolah yang berkesan.

Berikut merupakan sebahagian isi artikel beliau berkaitan definisi sekolah cemerlang dan definsi yang sangat menarik dari Stoll and Fink  dan rakan-rakan mengikut kuadran berkaitan sekolah berkesan.

Mengikut Hussein Mahmood (1993) sekolah cemerlang bukanlah sekolah yang established atau sekolah primer tetapi sekoLah yang dapat menghasilkan pencapaian akademik yang tinggi, kurang menghadapi masalah disiplin dan mendapat kepercayaan di kalangan masyarakat dan guru-guru merasa puas hati bekerja.

Brookover dan Lezotte (1979) dan Teddlie et al., (1985, 1989) mengatakan bahawa sekolah berkesan ialah sekolah yang dapat meningkatkan pencapaian akademik pelajar dari golongan keluarga yang SES rendah.

Manakala Edmonds (1979a) mendefinisikan sekolah cemerlang sebagai:
... bring the children of the poor to those minimal masteries of basic school skills that now
describe minimally successful pupil performance for the children of the middle class. Mortimore (1991) pula mendefinisikan sekolah cemerlang sebagai: ... as one in which students progress further than might be expected from consideration of its intake. An effective school thus adds extra value to its students' outcomes in comparison with
other schools serving similar intakes.
Abdul Shukor Abdullah (1991) mengatakan sekolah cemerlang adalah sekolah yang mencapai tahap terbaik, bermutu dan terunggul dalam semua bidang berkaitan dengan akademik, sahsiah, pengurusan, perhubungan, infrastruktur dan kepemimpinan.

Mengikut Stoll dan Fink (1996), Rosenholtz (1985) dan Hopkins et a1, (1994) melabelkan sekolah berkesan sebagai sekolah bergerak (moving) dan sekolah cruising manakala sekolah kurang berkesan disifatkan sebagai sekolah strolling, dan sekolah tidak berkesan sebagai sekolah merangkak (struggling) dan sekolah tenggelam (sinking).

Ini dapat digambarkan pada Rajah 1.

Rajah 1. Jenis-jenis sekolah: Sekolah cemerlang, sekolah kurang cemerlang dan sekolah
tidak cemerlang. Sumber: Stoll dan Fink (1996\ dan Hopkins (1999).

Mengapa sekolah boleh bergerak sebagai sekolah cemerlang, sekolah kurang cemerlang, atau sekolah tidak cemerlang? Ini disebabkan oleh perubahan dari segi kcpimpinan sekolah, guru, pelajar, taraf sosioekonomi ibu bapa pelajar dan lain lagi. Jika terdapat perubahan, sekolah akan bergerak seperti tertera dalam Rajah 1.

Jenis-jenis Sekolah: Sekolah Cemerlang, Kurang Cemerlang dan Tidak Cemerlang
a)  Sekolah Tenggelam (Sinking)
Sekolah-sekolah seperti ini bukan sahaja tidak cemerlang tetapi merosot kerana stafnya tidak kisah dan tidak tabu cara meningkatkan prestasi. Selalunya sekolah-sekolah ini berada dalamkawasan yang status sosioekonominya rendah, ibu bapanya tidak kisah dan guru-guru sering menyalahkan pelajar yang tidak memberangsangkan sebagai penyebab punca kegagalan mereka. Sekolah-sekolah ini memerlukan perubahan budaya yang drastik dan kepimpinan pengetua/guru besar yang mantap, berani membuat perubahan, kreatif dan bijak serta pelbagai bantuan perlu diberikan untuk menyelamatkan sekolah daripada tcrus tenggelam.

b)Sekolah Merangkak (Struggling)
Sekolah-sekolah ini adalah sekolah yang kurang cemerlang dan semua pihak menyedari hakikat ini dan berusaha sedaya upaya untuk membaiki keadaan. Mereka akan berjaya jika dibantu oleh semua pihak kerana mereka sedar akan kelemahan mereka dan memang menginginkan bantuan. Sekolah-sekolah di kawasan-kawasan yang kurang beruntung seperti di luar bandar dan dipinggir bandar yang berusaha untuk meningkat pencapaian akademik adalah dalam kategori ini. Sekolah-sekolah ini mengamalkan budaya bekerjasama dan mencari rakan kongsi (ibu bapa, komuniti dan sebagainya) untuk mcnolong mereka. Sekolah sebegini memerlukan perubahan transformatif untuk meningkat.

c)Sekolah Berkembang dengan Sederhana (Strolling)
Sekolah-sekolah ini hanya sederhana dari segi pencapaian akademik. Sekolah seperti ini cuba bergerak ke arah keberkesanan tetapi tidak cukup untuk menghadapi kadar perubahan yang pesat. Sekolah tersebut memerlukan ciri-ciri seperti pcngetua/guru besar baru dan dinamik, bantuan semua pihak termasuk pegawai dan labatan Pedidikan Negeri, dan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) dan sebagainya. Sekolah ini mempunyai warga yang bersikap 'tidak kisah ", "apa nak buat", "entahlah" dan terdapat sebahagian guru telah mengalami burn out. Sekolah sedemikian terdapat di kebanyakan tempat.

d) Sekolah Mengekalkan Prestasi (Cruising)
Sekolah jenis ini dilihat sebagai cemerlang oleh semua pihak. Pelajar mereka memanglah sedia berkebolehan dan mencapai kejayaan walaupun kualiti pengajaran tidak berapa baik. Sekolah seperti ini hanya mengekalkan prestasi tetapi kurang berusaha meningkatkan dan menyediakan pelajar mereka menghadapi dunia yang sentiasa berubah dan mencabar. Sekolah- sekolah menengah berasrama penuh dan sekolah-sekolah elit yang tidak berusaha menyerlahkan potensi pelajar mereka sepenuhnya mengamalkan budaya cruising.

e)Sekolah Bergerak (Moving)
Sekolah bergerak ialah sekolah cemerlang kerana berjaya meningkatkan pencapaian murid mereka jauh melebihi jangkaan dan warganya terutamanya pengetua/guru besar dan guru-guru sentiasa bergerak untuk meningkatkan kejayaan sekolah. Biasanya sekolah seperti ini bergerak juga dari aspek lain seperti kokurikulum yang menyumbang kepada perkembangan pelajar. Contohnya sekolah-sekolah yang mendapat anugerah sekolah harapan negara merupakan sekolah efektif dan sentiasa bergerak.

*Nota Kaki
Di dalam kuliah terakhir YXGA 6112, banyak persoalan yang ditimbulkan berkaitan dengan sekolah berkesan. Jadi untuk melihat di mana kedudukan MRSM kita berada, bolehlah melihat kepada rajah 1 di atas. Dan saya berpendapat sepatutnya seluruh MRSM, perlu  berada di tahap Sekolah Bergerak (Moving) selain di Sekolah Mengekalkan Prestasi (Crusing). Dan untuk MRSM TGB, saya merasakan kami telah berada di sekolah bergerak kerana bukan sekadar pencapaian akademik yang kami tekankan, sebaliknya dari segi ko-kurikulum pelajar, kerohanian dan sahsiah pelajar juga digilap agar dapat melahirkan modal insan yang holistik dan seimbang dari semua segi. 

Bagi mendapatkan pemahaman yang jelas, seharusnya baca keseluruhan artikel ini.

* Untuk membaca keseluruhan artikel, bolehlah download pada url di bawah ini.
http://myais.fsktm.um.edu.my/5084/1/2.pdf