Inspiring Quotes, Inspiration Quotes, Inspiring Sayings

Sunday, March 31, 2013

Rol pemimpin sekolah



Sekolah berkesan memerlukan pengetua yang berkesan. Kecemerlangan sesebuah sekolah banyak bergantung kepada kepimpinan seseorang pengetua. Pengetua sentiasa disifatkan sebagai pemimpin sekolah kerana kedudukan dan jawatannya yang berwibawa. Oleh itu pengetua mempunyai kuasa, autoriti dan tanggungjawab untuk melaksanakan visi dan matlamat pendidikan. 

Peranan pengetua adalah pelbagai. Pengetua perlu berfungsi sebagai pemimpin pengajaran dan juga pentadbir sekolah. Sebagai seorang pengurus pendidikan, tanggungjawab utama pengetua ialah menjalankan kerja-kerja pentadbiran dan sekali gus bertindak sebagai pemimpin pengajaran dan pembelajaran. Amalan pengurusan yang dijalankan adalah meliputi fungsi pengurusan seperti membuat rancangan, mengorganisasikan, mengetuai dan mengawal, terutama sumber manusia, kurikulum, kokurikulum, perkembangan staf, kewangan, persekitaran dan sebagainya. 

Secara ringkasnya, seorang pengetua berperanan di dalam bidang berkenaan iaitu :
a) Kepimpinan instruksional P & P
b) Kepimpinan kurikulum
c) Pengurusan kewangan
d) Pengurusan asrama
e) Pembangunan kompetensi guru dan staf
f) Pengurusan disiplin pelajar
g) Penilaian prestasi
h) Hubungan dengan sekolah lain dan komuniti setempat

Peranan yang dinyatakan di atas juga meliputi tugas-tugas sebagai pentadbir, pengurus, pemimpin dan pendidik. Beberapa kriteria pengetua yang dianggap baik antaranya ialah seorang yang mempunyai kesungguhan dalam tugas, mempunyai visi ke arah mencapai matlamat serta, berkemampuan tinggi dalam mencapai kemajuan akademik, berwawasan, bercita-cita tinggi, berusaha ke arah menepati hala tuju organisasi serta kental dalam menghadapi cabaran adalah antara keperluan kendiri yang perlu ada pada seorang pengetua.

Seorang pemimpin sekolah yang baik perlu mempunyai ciri-ciri seorang yang mempunyai matlamat
yang jelas yang ingin dicapai,  berintegriti, menggalakkan dan menyokong guru dan staf sokongan di bawahnya,  memberi inspirasi, menunjukkan contoh dan teladan yang baik, mempunyai komunikasi yangjelas, memberikan pengiktirafan kepada guru-guru, menfokoskan kepada keperluan guru-guru dan staf dibawahnya, boleh merangsang guru-guru untuk bekerja dengan lebih tekun dan gigih serta mempunyai pengharapan dan jangkaan yang tinggi kepada guru-guru dan staf sokongan di bawahnya. 



Thursday, March 28, 2013

Bersama untuk dikongsi

Sesuatu untuk dikongsi bersama....jumpanya semasa mencari bahan untuk menulis refleksi bagi Rol Pemimpin Sekolah

Sekolah baik atau sekolah lemah? Daripada pengalaman sebagai wartawan, saya tidak pernah melihat sekolah yang baik dengan pentadbir yang lemah, atau sekolah lemah dengan pentadbir yang baik. Saya telah melihat sekolah yang tidak berjaya diubah menjadi sekolah yang berjaya dan kesalnya sekolah yang unggul merosot dengan cepat. Dalam setiap kes, jatuh bangunnya sesebuah sekolah dengan mudah dapat dikaitkan dengan kualiti pentadbirnya.

-Fred M. Hechinger-

Ciri-ciri Sekolah Berkesan (2)

Pada kuliah yang lepas, kami telah berbincang tentang sekolah ciri-ciri sekolah berkesan. Di dalam sesi buzz di dalam kelas, banyak senarai yang keluar apabila di minta memberikan ciri-ciri sekolah berkesan.

Mengikut Morzano (2003), ciri-ciri sekolah berkesan boleh dilihat dari segi sekolah itu sendiri, guru-guru dan pelajar.
Sekolah perlu menyediakan kurikulum berkembang dan terjamin. Perlunya ada matlamat sekolah yang mencabar serta maklum balas yang efektif. Ada hubungan yang baik di antara sekolah dengan ibu bapa dan masyarakat setempat.  Guru pula perlu menyediakan pengajaran dan pembelajaran yang efektif dengan strategi dan teknik pengajaran yang pelbagai, menguruskan bilik darjah dengan baik semasa proses P&P serta merekabentuk kurikulum selari dengan kurikulum kebangsaan. Pelajar pula mempunyai persekitaran rumah yang kondusif untuk mereka belajar di mana ibu bapa juga memainkan peranan membantu pembelajaran anak-anak di rumah.

Setelah dianalisis dan dibincangkan bersama, secara ringkasnya ciri-ciri sekolah berkesan boleh dilihat dalam segi input, proses dan output. 

  INPUT   >>>> PROSES  >>>> OUTPUT (PRODUK)

INPUT
Kepimpinan dan pengurusan profesional
Ini termasuk kepimpinan pengetua di sesebuah sekolah. Pengetua yang berkesan akan membentuk sekolah berkesan. Apakah ciri pengetua berkesan? Saya berpendapat seseorang pengetua berkesan boleh memimpin guru-guru agar mengikuti apa yang dikehendaki oleh pengetua tanpa paksaan. Pengetua perlu mempunyai sifat kepimpinan instruksional dan juga transformasi di samping kepimpinan teragih. (distributed). Di dalam ayat yang mudah, pengetua perlua lah seorang yang mampu membuatkan orang-orang disekelilingnya berubah menjadi pemimpin juga. 

Sumber.
Ini termasuklah kemudahan fizikal dan prasarana sekolah yang mencukupi , bahan pengajaran dan pembelajaran yang cukup, sumber kewangan (bajet) untuk mengurus sesebuah sekolah dan menjalankan aktiviti-aktiviti pelajar, keupayaan guru yang terlatih untuk mengajar, sumber teknologi, sokongan yang kuat dan mantap dari ibu bapa serta komuniti luar serta polisi maktab dan piawaian yang dikeluarkan oleh Bahagian Pendidikan Menengah (MARA).


PROSES
Dari segi proses pula, keberkesanan sekolah boleh diukur  melalui proses iaitu proses pengurusan dan pentadbiran sekolah efektif, pengwujudan iklim budaya sekolah yang positif untuk pengajaran-pembelajaran, hubungan yang mesra antara pihak pengurusan sekolah dengan guru, guru dengan guru dan guru dengan pelajar, dan guru dengan ibu bapa.

Misi dan Visi
Guru-guru dan semua warga maktab jelas dengan misi sekolah di mana pengetua berperanan untuk memastikan misi ini diperkatakan dan difahami oleh semua warga maktab. 

Budaya/Iklim
Sebuah sekolah berkesan perlu mempunyai iklim sekolah yang positif di mana adanya nilai-nilai murni yang diterapkan kepada semua warga maktab. Wujudnya kejelikitan dan "group dynamic" di antara guru-guru di mana motivasi guru dan pelajar berada di tahap yang tinggi. 

Kualiti Pengajaran dan Pembelajaran
Guru-guru menghasilkan pengajaran berkesan di dalam kelas. Adanya kurikulum yang berkualiti di mana pengetua sebagai pemimpin instruksional perlu memantau kurikulum yang dilaksanakan. Selain itu penyeliaan guru dilaksanakan bagi mencari kaedah dan strategi pengajaran yang terbaik. Berkongsi idea seperti team teaching boleh membantu meningkatkan kualiti P & P. Masa pembelajaran pelajar perlu ditegaskan dan diambil berat. Guru yang tidak hadir kerana kursus dan mesyuarat perlu memberikan tugasan untuk dilakukan oleh pelajar ataupun kelas berkenaan perlu diganti dengan guru lain.

Program Pembangunan Pelajar dan Guru
Kursus profesionalisme untuk guru perlu diadakan selalu agar guru-guru mendapat pengetahuan baru. Kursus-kursus dalam latihan dapat meningkatkan kemahiran instruksional guru-guru. Selain itu, kursus-kursus pembagunan pelajar seperti jati diri, komunikasi, dan sebagainya boleh membentuk pelajar-pelajar di dalam segi EQ dan juga sosial diri. 

OUTPUT
Keberkesanan sesebuah sekolah boleh diukur apabila pencapaian pembelajaran pelajar meningkat dari sebelumnya. Ianya boleh diukur dari segi akademik dan bukan akademik. Dari segi akademik, sebuah sekolah berkesan memastikan prestasi dan pencapaian akademik pelajar sentiasa meningkat di mana peningkatan itu sentiasa konsisten pada setiap tahun. Dari segi bukan akademik pula, tidak berlaku keciciran murid dan tahap disiplin sekolah seperti ponteng kelas semakin kurang pada setiap tahun.

Selain itu, wujudnya kepuasan kerja di kalangan guru dan staf sokongan. Ini boleh berlaku apabila guru-guru dan staf sokongan boleh melakukan kerja tanpa memerlukan pengawasan pengetua , di mana urusan harian sekolah berjalan dengan lancar walaupun ketiadaaan pengetua. Persekitaran sekolah pula kelihatan bersih dan ceria.


Keberkesanan sekolah juga boleh diukur bukan sahaja melalui kecemerlangan dalam pendidikan, tetapi dari aspek ekuiti (kesaksamaan) untuk mendapatkan pendidikan tanpa mengira kebolehan dari segi kognitif, fizikal pelajar, latar belakang taraf sosioekonomi (SES) ibu bapa pelajar,latar belakang agama, bangsa dan keturunan dan fahaman pelajar



Friday, March 22, 2013

Bagaimana pengetua memimpin guru-guru tanpa menggunakan kuasa dan kedudukan?

Malam ini baru berpeluang untuk menulis berkaitan isu ini. Tugasan dan kerja yang tidak putus  di maktab setiap hari membantutkan niat yang ada. Hari ini juga merupakan hari yang panjang di maktab, namun tidak di nafikan juga menjadi hari bersejarah kepada semua warga maktab terutama nya guru-guru. Selepas berhempas pulas selama dua tahun, hari ini adalah untuk menuai hasilnya. Tarikh keluarnya keputusan peperiksaan SPM pada tanggal 21 Mac 2013 akan menjadi satu sejarah dan bakal dibualkan untuk jangka masa yang panjang. Guru-guru tidak putus-putus memasuki bilik Unit Penilaian dan Peperiksaan Maktab (UPPM) untuk melihat keputusan peperiksaan anak-anak didik mereka, tidak kurang juga yang merasa bimbang jika ada anak didik mereka yang tidak mencapai matlamat yang telah di sasarkan. Namun, bila keputusan dikeluarkan, tiada apa yang lebih menggembirakan guru-guru apabila melihat kejayaan anak-anak didik. Seorang guru, telah mengucapkan terima kasih kepada pelajar-pelajarnya kerana menghadiahkan semua A kepadanya. Seorang guru lain pula selaku guru kanan menitiskan air mata apabila subjeknya mendapatkan 100% A. Ada juga guru yang merasa sedih apabila turunnya peratus keseluruhan subjeknya. Dan kegembiraan ini di rasai oleh semua guru sama ada yang mempunyai kelas peperiksaan yang berkaitan ataupun tidak serta di kongsi bersama dengan staf sokongan.

Bagaimana pula ini berkaitan dengan isu yang ingin dibincangkan iaitu bagaimana pengetua memimpin guru tanpa menggunakan kuasa dan kedudukan? Saya berpendapat ianya disebabkan setiap guru telah pun mempunyai rasa yang mendalam terhadap pelajar-pelajarnya. Segala aktiviti-aktiviti yang dirancang untuk pelajar dilaksanakan  dengan penuh "passion" untuk para pelajar tanpa berkira.  Semua aktiviti yang dirancang pula sama ada berbentuk akademik dan bukan akademik di sokong sepenuhnya oleh staf-staf sokongan. Guru-guru tidak merasa terpaksa ataupun terbeban walaupun semua aktiviti-aktiviti berkenaan di  buat di hujung minggu. Semangat kerja berkumpulan merupakan amalan biasa di maktab sama ada di antara unit maupun antara jabatan. Aktiviti yang melibatkan kolaborasi yang melibatkan sekolah-sekolah luar juga berlaku untuk membentuk jalinan perhubungan serta perkongsian maklumat. "One for all and all for one" . Itulah yang mengambarkan maktab ini.  Bagaimana ini berlaku? Saya berpendapat ini kerana di sini adanya barisan pengetua dan mantan pengetua yang berkesan. Setiap pengetua yang hadir di sini sepanjang saya berkhidmat berjaya meninggalkan kesan yang menjadi amalan, dan ditambah baik apabila hadirnya pengetua yang seterusnya. 

Pengetua yang berkesan adalah pengetua yang mengamalkan kepimpinan instruksional. Menurut  Hallinger dan Murphy (1987) peranan pengetua dalam kepimpinan pengajaran yang meliputi tiga dimensi utama dan 11 fungsi kesemuanya. Dimensi pertama iaitu dimensi penakrifan matlamat dengan dua fungsi iaitu penentuan dan penyebaran matlamat sekolah. Dimensi kedua iaitu pengurusan program pengajaran dengan 3 fungsi dalamnya iaitu pencerapan dan penilaian pengajaran dan pembelajaran, pengurusan kurikulum dan pengawasan kemajuan pelajar. Dimensi terakhir ialah pemupukan iklim pengajaran dan pembelajaran dengan 6 fungsi iaitu penjagaan masa P&P, sokongan dalam aktiviti pengajaran, pemberian peneguhan kepada usaha guru, penggalakkan
perkembangan profesionalisme, penguatkuasaan dasar akademik dan pemberian insentif untuk pelajar.

Apabila dikonteksualkan dengan apa yang berlaku di maktab saya, hampir semua ciri-ciri di lengkapi sedikit demi sedikit oleh setiap pengetua yang berkhidmat di maktab ini. Matlamat sekolah di tentukan melangkaui apa yang boleh dijangka, merupakan satu perkara baru diperkenalkan oleh seorang mantan pengetua yang datang ke maktab ini pada akhir tahun 2000. Walaupun sukar diterima, namun pendekatan diplomasi yang digunakan membuatkan semua warga maktab akur pada masa itu. Hasilnya, walaupun setelah bertahun beliau meninggalkan maktab ini, guru-guru telah berubah di mana guru-guru berani untuk mencapai sesuatu yang diluar jangkauan serta sanggup menerima sebarang cabaran. Begitu juga bagaimana seorang lagi mantan pengetua yang pernah berkhidmat di mana beliau mementingkan pemupukan iklim pengajaran serta memberikan sokongan dalam aktiviti pengajaran. Beliau membuat penegasan agar guru-guru melaksanakan semua aktiviti dan program yang diatur untuk para pelajar dan meninggalkan urusan mencari bajet  kepada beliau untuk memikirkannya.  Beliau juga akan menghadirkan diri pada semua aktiviti yang dilaksanakan oleh guru-guru dan unit sama ada di dalam atau luar maktab.

Saya berpendapat seorang pengetua perlu menjaga kebajikan guru-guru dan tidak hanya mementingkan program sendiri kerana yang akan melaksanakan semua agenda itu adalah guru-gurusendiri. Komunikasi dua hala penting agar guru-guru boleh mendapat maklumat yang diperlukan dan jelas dengan matlamat yang ingin dicapai. Pengetua perlu tahu menghargai guru-guru dan mempunyai mempunyai EQ yang tinggi serta menjaga hubungan yang baik dengan guru-guru. Selain itu, pengetua perlu mempunyai sikap terbuka dan boleh dihampiri oleh guru-guru untuk sebarang masalah dan berkongsi pendapat bukan sahaja berkaitan dengan tugas rasmi maktab tetapi juga berkaitan dengan hal-hal lain. Kualiti yang ada pada pengetua seperti dinyatakan ini membolehkan pengetua mempimpin guru-guru tanpa menggunakan kuasa dan kedudukan.

Apa yang boleh dirumuskan, seorang pengetua boleh memimpin guru-guru dengan menggunakan cara diplomasi, mengamalkan kepimpinan instruksional, memahami keperluan dan kehendak guru -guru serta boleh menjadi penyokong bagi segala aktiviti yang dilakukan oleh guru-guru. 

Wednesday, March 20, 2013

Kepimpinan Guru dan penambahbaikan sekolah


Sepetang bersama Prof Dr James Spillane di dalam seminar yang bertajuk Distributed Leadership : Rethinking School Improvement oleh Prof James P.Spillane bertempat di Fakulti Undang-undang Universiti Malaya pada 18 Mac 2013 lepas memberikan input tentang Distributed Leadership. Apabila membincangkan tentang Distributed Leadership, tidak dapat lari dari membincangkan tentang kepimpinan guru. Sebelum ini saya hanya berpendapat Distributed Leadership lebih kepada mengupayakan kuasa kepada pemimpin pertengahan seperti timbalan-timbalan pengetua dan ketua-ketua jabatan. Tetapi sebenarnya Distributed Leadership ini adalah untuk semua guru-guru kerana kita semua ini adalah pemimpin kepada anak-anak didik di dalam kelas.

Konsep kepimpinan guru  adalah proses pemimpin itu menggunakan keupayaannya  bagi mempengaruhi kumpulannya  dalam menggerakkan mereka ke arah pencapaian matlamat yang ditetapkan secara bersama.  Dalam konteks ini, kumpulan yang di maksudkan adalah pelajar-pelajar di dalam kelas kita. Guru-guru perlu berusaha untuk menambahkan kebolehan dalam bidang mereka masing-masing di mana guru-guru merupakan pakar rujuk di samping memperkembangkan personaliti diri bagi menarik perhatian pelajar-pelajar yang ingin dipengaruhi selain  mempunyai keyakinan  diri yang tinggi dan berketrampilan dan berpersonaliti yang menarik.

Oleh kerana besarnya kuasa dan pengaruh guru di dalam kelas, setiap guru perlu berani mencuba strategi dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang lebih  berani di sekolah. Guru perlu bertindak sebagai pemudahcara di mana mengalakkan pengupayaan kepada pelajar bagi membantu guru, memberi kuasa dan percaya kepada pelajar di dalam menjalankan tugas, bersifat fleksibel dan mementingkan semangat berpasukan. Di dalam konteks pendidikan kini terutama apabila ingin melaksanakan penambahbaikan sekolah, di dalam konteks bilik darjah, pelajar-pelajar tidak semestinya hanya duduk diam dan hanya menerima input dari guru, sebaliknya pelajar-pelajar ini dibolehkan bergerak bebas dan berbincang dengan rakan sebaya di mana guru bertindak sebagai pemudahcara dan memantau agar kelakuan mereka tidak menyimpang dari objektif pengajaran dan tidak menghalang proses pengajaran dan pembelajaran.

Dari pemerhatian dan juga cubaan yang telah saya lakukan di dalam kelas ICT, apabila mereka diminta di dalam kumpulan untuk membentangkan satu topik, dapat saya simpulkan bahawa pelajar-pelajar sebenarnya lebih kreatif apabila diminta untuk membuat kerja berkumpulan, dan mampu memberi lebih dari apa yang dijangkakan. Penglibatan  mereka adalah menyeluruh kerana mereka sendiri terlibat di dalam proses pengajaran dan pembelajaran itu, dengan menentukan cara mereka sendiri untuk belajar. Mereka masing-masing mampu menarik perhatian rakan-rakan sekelas dan pembelajaran itu sendiri menjadi aktif. Saya sebagai guru pula hanya perlu memberikan garis panduan serta memberikan bimbingan apabila timbul kekeliruan dan kekaburan di dalam proses berkenaan di samping memberikan input tambahan dan menerangkan dengan jelas terma yang mereka kurang faham.

Kesimpulannya di dalam penambahbaikan sekolah, guru juga perlu berubah selaras dengan perubahan yang berlaku di dalam pendidikan. Walaupun kadang kala perubahan itu adalah sesuatu yang sukar dan berat, tetapi guru mampu untuk melakukannya jika mempunyai keyakinan yang kuat dan berani menempuh kegagalan sebelum mencapai kejayaan.

Friday, March 15, 2013

Pentaksiran Berasaskan Sekolah


Sistem peperiksaan umum di Malaysia pada masa kini lebih berorientasikan kepada peperiksaan semata-mata di mana pencapaian pelajar diukur berdasarkan jumlah A yang di dapati di dalam peperiksaan akhir yang mengambil masa dua jam di dalam dewan peperiksaan. Terdapat kekurangan pada sistem peperiksaan ini kerana ia tidak secara tepat mengukur pencapaian pelajar sepanjang tempoh pembelajaran di sekolah. Misalnya seorang pelajar yang cemerlang dan sentiasa mendapat markah dan keputusan yang baik di dalam ujian dan peperiksaan yang dijalankan di sekolah bagaimanapun mendapat keputusan kurang memuaskan kerana merasa gementar semasa menduduki peperiksaan SPM.

Justeru itu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah merangka dan pada tahun 2011 telah melaksanakan sistem penilaian yang baru sesuai dengan transformasi pendidikan yang mana antara inti patinya mengurangkan peperiksaan pusat, memartabatkan guru dan sekolah, memberi penekanan kepada aspek intelektual yang seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi dan sosial. Pelaksanaan sistem pentaksiran baru lebih menyeluruh kerana ia menguji dari aspek kognitif, afektif dan psikomotor.

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) menggunakan pendekatan pentaksiran rujukan standard di mana pentaksiran ini akan melihat perkembangan murid, prestasi murid dilaporkan berdasarkan pada bukti (evidence) murid dan bukti(evidence) bahan. Bagaimanapun timbul persoalan kepada guru-guru bagaimana untuk  melaksanakan Penilaian Berasaskan Sekolah ini sebagaimana dikehendaki oleh pihak Kementerian Pendidikan. Oleh sebab itu, sebagai pengetua/guru besar di sekolah perlu faham cara pentaksiran dilakukan untuk disebarkan kepada semua guru-guru di sekolah kerana sebelum pelaksanaan ini dilakukan, guru-guru besar telah dipanggil berkursus dan diberi taklimat cara pelaksanaan yang perlu dilakukan di sekolah.


Sistem penilaian ini direka bagi mengukur kebolehan pelajar secara holistik menilai aspek kognitif, afektif dan psikomotor selaras dengan Falsafah Pendidikan Malaysia bagi menggantikan format penilaian yang berorientasikan peperiksaan semata-mata yang mana bersifat sumatif dan tidak menggambarkan secara keseluruhan kebolehan seseorang pelajar itu.  Pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) merupakan sebahagian dari lima komponen utama dalam pelaksanaan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan menjelang tahun 2011.

Selain Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PSB) yang termasuk di dalam komponen pentaksiran pusat, terdapat komponen-komponen lain yang seperti Pentaksiran Sekolah, Peperiksaan Pusat, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum serta Pentaksiran Psikometrik. Secara kesimpulannya boleh dikatakan penilaian berasaskan sekolah yang telah dilaksanakan ini diharap dapat membentuk modal insan yang seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi, kognitif dan sosial.
 * Di ambil dari http://pbssppjpnpp.blogspot.com/. 

Di dalam konteks MRSM pula, PBS ini merupakan sesuatu yang baru kerana hanya MRSM yang mempunyai tingkatan 1 sahaja yang telah melaksanakan PBS ini. Bagi maktab saya pula, yang hanya mempunyai pelajar tingkatan 4 dan 5 , tidak dapat menghayati apakah itu PBS sebenarnya dan kebanyakan guru-guru di maktab saya masih lagi di dalam peringkat hanya mengetahui secara umum sahaja. Mungkin apabila kami menerima pelajar tingkatan 4 pada tahun 2016, kami akan merasa dan mengalami apa yang dinamakan PBS itu. Ketika itu, adakah kami akan bersedia? Masa yang akan menentukan...bagaimanapun guru-guru yang berkesan adalah bersifat fleksibel dan mampu menangani apa sahaja perubahan yang mendatang



Thursday, March 14, 2013

Apa yang perlu kita belajar dari Finland


Sistem pendidikan yang terbaik dikatakan berada di Finland. Secara tiba-tiba nama Finland melonjak dan menjadi sebutan. Semua negara termasuk Malaysia juga ingin mengetahui rahsia bagaimana Finland dari sebuah negara yang tidak dikenali menjadi satu negara yang disebut di persada dunia pendidikan. Bagaimanakah ia berlaku? Apa yang boleh kita belajar untuk memartabatkan pendidikan di Malaysia.

Dari artikel“Finish Lesson” oleh Pasi Sahlberg yang merupakan Director General CIMO (Ministry of Education)Helsinki, saya dapati Finland telah melakukan transformasi pendidikan pada seawal tahun 1990an. Beberapa faktor yang membolehkan perkara itu berlaku, di antaranya ialah memartabatkan profesion perguruan. Di sana, calon-calon guru walaupun untuk sekolah rendah, dipilih dari pelajar yang terbaik di negaranya, dan semua guru-gurunya mempunyai sekurang-kurang sarjana pendidikan serta kerjaya perguruan merupakan kerjaya yang dihormati. Guru-guru bagi setiap peringkat bermula tadika, prasekolah, sekolah rendah, dan sekolah tinggi mempunyai kelayakan akademik yang berbeza. Guru-guru sekolah menengah di Finland merupakan guru-guru yang mengambil kursus perguruan di universiti kerana telah mempunyai kecenderungan untuk menjadi guru.

Selain itu, di dalam artikel itu, beliau menyatakan “Less is More”. Guru-guru di Finland mengajar kurang masa setahun di dalam kelas berbanding guru-guru dari negara luar, pelajar-pelajar di Finland belajar kurang masa berbanding negara luar lain dan yang paling penting, kurang ujian dan peperiksaan tetapi belajar lebih. Pembelajaran pula bersifat holistik (menyeluruh),  ada “personalization” di mana setiap pelajar dilayan berbeza mengikut keperluan mereka dan bukannya “standardisation, pembelajaran itu bersifat kolaborasi dan bukannya persaingan. Selain itu pembelajaran adalah ekuiti untuk semua pelajar, dan bukannya pilihan. Antara faktor lain ialah, Finland telah menerapkan dan menyuburkan budaya “Trust” iaitu kepercayaan. Perlu ada kepercayaan “Trust” antara pihak berkuasa pendidikan dengan sekolah, kepercayaan dari guru dengan pelajar-pelajarnya dan bukannya bertujuan untuk mengawal serta keperluan kepercayaan pentadbir kepada guru-guru yang mengajar di kelas. Guru-guru mempercayai satu sama lain dan masyarakat serta stake holder tidak mempersoalkan cara pengetua mengurus dan mentadbir sekolah. Bagaimanapun beliau juga menambah ada banyak lagi faktor kejayaan pendidikan di Finland yang masih lagi belum diketahui.

Pendidikan di Malaysia pula masih lagi mementingkan pencapaian yang dicapai pada peperiksaan akhir. Peperiksaan yang dilakukan seperti ujian bulanan dan peperiksaan akhir tahun digunakan untuk mengukur keupayaan dan kefahaman pelajar. Guru-guru bertungkus-lumus menghabiskan silibus dengan cepat dan teknik P &P yang digunakan lebih bertumpu kepada “chalk and talk”.  Ini semua bagi  memastikan guru ada banyak masa untuk membuat persiapan kepada pelajar-pelajar untuk menghadapi peperiksaan akhir seperti latih tubi dan sebagainya.

Saya berpendapat, sistem pendidikan kita juga sedang mengalami transformasi. Kementerian pendidikan melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) telah menggariskan strategi pelaksanaan, pelan tindakan dan indikator pencapaian bagi membangunkan modal insan antaranya melalui Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK).  Antara fokus SPPK adalah memantapkan sistem pentaksiran dan penilaian supaya lebih holistik, mengkaji semula sistem pentaksiran dan penilaian untuk menjadikan persekolahan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan dan memantapkan kualiti sistem pentaksiran dan penilaian. Kesemua fokus ini telah mula dilaksanakan mulai tahun 2008 dan guru sebagai pelaksana perlu berani untuk berubah  dan peka terhadap perkembangan dan keperluan dalam sistem pendidikan serta berusaha meningkatkan diri dengan pengetahuan dari segi isi kandungan dan pedagogi, menambah kemahiran baru seperti ICT serta mengubah sikap bagi memastikan pelajar yang menjadi anak didik kita menjadi pelajar yang cemerlang secara menyeluruh.

Tuesday, March 5, 2013

Pengajaran Berkualiti

Apakah yang dimaksudkan dengan pengajaran berkualiti? Apakah ciri- ciri pengajaran berkualiti? . Selaras dengan perubahan sistem pendidikan negara yang ingin dilaksanakan  agar seiring dengan globalisasi, adakah pendidik kita bersedia melakukan transformasi dan anjakan minda di dalam pengajaran di dalam bilik darjah.? Adakah guru-guru kita masih boleh bertahan dengan pengajaran klasik ataupun kita sudah bersedia menjadi guruberkualiti dengan mempamerkan pengajaran berkualiti.

Monday, March 4, 2013

Ciri-ciri sekolah berkesan

Salah seorang penyelidik yang terkenal ialah Peter Mortimore yang telah membuat rumusan terhadap hasil beratus-ratus buah penyelidikan tentang sekolah berkesan. Mortimore (1995) telah mengutarakan rumusan tersebut dalam kertas kerjanya "Key Characteristics of Effective Schools" yang telah dibentangkan di Institut Aminudin Baki. Menurut Peter Mortimore, ciri-ciri-ciri sekolah berkesan adalah seperti berikut :

(a) Kepemimpinan profesional
Ciri ini menekankan kepemimpinan sekolah yang tegas dan bertujuan. Sekolah-sekolah harus mempunyai pentadbir proaktif yang 

menekankan permuafakatan dan persamaan tujuan yang mengusaha dan mengekalkan proses memajukan sekolah. Seterusnya, ialah sama ada sekolah mengamalkan pendekatan musyawarah, berkongsi tanggungjawab serta melibatkan guru dalam membuat keputusan dan menekankan kepemimpinan ketua jabatan atau panitia. Ciri ini juga menekankan sama ada pengetua sekolah sebenarnya seorang profesional dan berilmu yang dapat menawarkan kepemimpinan kurikulum, merancang strategi kurikulum, memantau kemajuan pelajar, serta sedar dan tahu apa yang berlaku di dalam bilik darjah dan dapat membantu membaiki amalan dan kualiti pengajaran dan pembelajaran.


(b) Perkongsian wawasan dan tujuan
Ciri ini bermaksud warga anggota sekolah mempunyai persamaan nilai dan tujuan sekolah serta dapat berfungsi sebagai sebuah organisasi yang mantap. Ciri ini juga merujuk pada pentadbiran sekolah yang mengamal tindakan pengurusan secara konsisten, iaitu berdasarkan piawai disiplin yang ditentukan oleh sekolah, atau guru menjadi model contoh. Ciri ini juga bermaksud tentang kewujudan kesetiakawanan dan kerjasama antara warga sekolah serta penglibatan guru dalam proses membuat keputusan.



(c) Persekitaran pembelajaran
Ciri ini bermaksud iklim sekolah ditentukan oleh wawasan, nilai dan tujuan. Iklim sekolah yang baik sebenarnya dipengaruhi oleh suasana pembelajaran dan keadaan sekolah yang tertib dan teratur dengan persekitaran kerja yang menarik, tenang dan harmonis dalam suasana berorientasikan tugas, di samping wujudnya disiplin kendiri dalam kalangan pelajar yang merupakan prasyarat bagi pembelajaran berkesan.



(d) Tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran
Ciri ini menampakkan tujuan utama sekolah, iaitu pengajaran dan pembelajaran kerana keberkesanan sekolah bergantung kepada keberkesanan pengajaran di dalam bilik darjah. Kajian menunjukkan ada perkaitan yang rapat di antara tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran sekolah dengan keberkesanan guru. Kajian juga menekankan sekolah patut memfokus pada kuantiti dan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Rumusan pelbagai kajian oleh Mortimore menunjukkan bahawa sekolah harus memaksimumkan 

masa belajar, meningkatkan penggunaan masa belajar, mengagih masa untuk mata-mata pelajaran prioriti secara seimbang. Sebahagian besar masa guru ditumpukan pada pembelajaran murid dan guru sangat prihatin dengan pelajaran dan pembelajaran kognitif murid. Sekolah mengamalkan ketepatan masa belajar dan mengurangkan gangguan dari luar bilik darjah. Sekolah juga begitu menitikberatkan aspek-aspek ilmiah, mempunyai guru yang berpengetahuan mendalam dalam kurikulum, dan bertumpukan penguasaan kemahiran-kemahiran asas.


e) Pengajaran yang bertujuan
Mortimore mendapati kualiti pengajaran sebagai inti pati sekolah berkesan, di samping memiliki guru yang berkualiti. Ciri pengajaran bertujuan pula bermakna perlu mempunyai organisasi yang efisien, tujuan yang jelas, pengajaran yang berstruktur, dan amalan yang fleksibel.



f) Jangkaan kejayaan yang tinggi
Ciri ini bermaksud sekolah mempunyai jangkaan kejayaan yang tinggi dalam semua bidang terhadap murid-murid mereka kerana rumusan kajian Mortimore menunjukkan ada kaitan yang rapat di antara jangkaan kejayaan yang tinggi dan keberkesanan pelajar. Guru didapati sangat aktif dalam membantu pelajar dan yakin dengan pencapaian murid-murid. Guru juga sentiasa menzahirkan jangkaan mereka serta berkeyakinan terhadap pelajar yang merangsang mereka untuk berjaya. Rangsangan ini diberi melalui kata-kata pujian yang tekal.



(g) Pengukuhan yang positif
Mortimore mendapati pengukuhan positif dalam bentuk hadiah dan insentif menjadi faktor penting bagi meningkatkan motivasi pelajar. Pentadbiran disiplin perlu bersih dan adil. Disiplin yang baik berpunca daripada iklim sekolah yang teratur, yakni yang berasaskan rasa kepunyaan dan keterlibatan. Disiplin yang berkesan dapat mengekalkan suasana damai di sekolah. Di samping itu, guru juga harus mendapat maklum balas segera tentang setiap tindakan yang dijalankan, sementara kepada pelajar pula ganjaran atau hukuman perlu disegerakan selepas setiap kebaikan atau kesalahan dilakukan.



(h) Memantau kemajuan
Berdasarkan maklumat kajian yang dikumpul oleh Mortimore, sekolah berkesan sentiasa melakukan pemantauan terhadap kemajuan dan prestasi pelajar secara teratur. Guru dapat menentukan sejauh mana tujuan sekolah telah dicapai. Sekolah perlu memberi tumpuan kepada pelajar, ibu bapa dan tujuan persekolahan. Sekolah juga hendaklah sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru dalam aspek-aspek penilaian dan kaedah mengajar yang terkini. Di samping itu, sekolah perlu menegaskan kepada pelajar dan guru supaya mengambil berat tentang kemajuan pelajaran.



(i) Hak dan tanggungjawab pelajar
Rumusan kajian Mortimore turut mendapati sekolah berkesan menekankan usaha meningkatkan harga diri pelajar. Pelajar sepatutnya mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai kegiatan di sekolah. Sehubungan itu, sekolah harus merancang dan meletakkan tanggungjawab yang sesuai kepada mereka.



(j) Hubungan rumah-sekolah
Mortimore seterusnya menekankan tentang pentingnya hubungan rumah-sekolah bagi meningkatkan keberkesanan sekolah. Kajian-kajian menunjukkan pentingnya penglibatan ibu bapa dalam membantu anak-anak untuk menyelesaikan kerja-kerja sekolah. Hubungan ini seterusnya dieratkan melalui lawatan ibu bapa ke sekolah untuk berbincang tentang kemajuan anak-anak dengan guru di dalam bilik khas yang disediakan, sementara pengetua pula mengukuhkan lagi hubungan ini melalui dasar-dasar yang terbuka.



(k) Organisasi Pembelajaran
Rumusan kajian Mortimore seterusnya menunjukkan sekolah-sekolah berkesan mempunyai organisasi pembelajaran yang menggalakkan guru dan staf am terus meningkatkan ilmu profesional. Ke arah sekolah berkesan, pengurusan sekolah harus mengadakan program perkembangan staf pada peringkat sekolah untuk membantu guru dan staf meningkatkan mutu pengajaran di dalam bilik darjah. 

Sunday, March 3, 2013

Penambahbaikan Sekolah

Penambahbaikan sekolah dilihat sebagai salah satu pendekatan dalam melakukan perubahan dalam pendidikan melalui pelaksanaan objektif jangka panjang. Ianya juga didefinisikan sebagai pendekatan menghadapi perubahan pendidikan yang dapat meningkatkan prestasi pelajar dalam dan menguatkan kapasiti sekolah dalam mengendalikan perubahan. (Abdul Ghani Abdullah, Kepimpinan dan penambahbaikan Sekolah)

Di dalam konteks MRSM, penambahbaikan sekolah adalah perkara yang perlu dilakukan secara berterusan. MRSM secara umumnya menerima pelajar-pelajar yang mempunyai kebolehan di dalam bidang akademik dan seterusnya pelajar-pelajar ini diberikan kemahiran generik seperti kemahiran berfikir, kemahiran amalan belajar, ICT, keusahahawan dan sebagainya. Ini merupakan antara usaha bagi melahirkan pelajar yang seimbang dari jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial mengikut Falsafah Pendidikan Kebangsaan. 

Salah satu penambahbahbaikan yang telah pun dilaksanakan di MRSM Tun Ghafar Baba diantaranya adalah memperkenalkan  pelajar- pelajar kepada penyelidikan ( R & DI). Program ini telah dilaksanakan pada tahun 2010 merupakan kesinambungan dari program SEM (School Enrichment Model) yang dijalankan di maktab pada setiap tahun. Program ini merupakan platform bagi pelajar untuk memperkembangkan lagi di mana projek-projek  sains (Kimia, Fizik, Biologi) , sains komputer dan rekacipta yang mempunyai potensi untuk diketengahkan dengan menggalakkan pelajar-pelajar membuat penyelidikan lanjut dengan bantuan universiti-universiti tempatan. Seterusnya, projek-projek ini di hantar untuk menyertai pertandingan di luar negara. Pihak maktab telah memberikan sokongan kepada jawataankuasa R & DI dengan menyediakan sebuah pusat R & DI sekolah dan membantu dari segi kewangan di dalam melaksanakan program ini. 

Hasilnya adalah amat menggalakkan di mana ramai kumpulan pelajar dari maktab ini telah memenangi pingat sama ada emas, perak atau gangsa pertandingan luar seperti I-SWEEP (Texas) , INEPO (Turki) dan INEPO Euroasia (Azerbaijan) , Infomatrix (Romania), ESI, dan lain-lain lagi. Apa yang penting bagi saya ialah bagaimana semua ini boleh memberikan pelajar-pelajar pengalaman untuk melakukan penyelidikan, di mana sepanjang proses yang berlaku ini sebenarnya merupakan satu proses pembelajaran bagi pelajar-pelajar yang tidak akan mereka jumpa di dalam bilik darjah.