Inspiring Quotes, Inspiration Quotes, Inspiring Sayings

Friday, March 22, 2013

Bagaimana pengetua memimpin guru-guru tanpa menggunakan kuasa dan kedudukan?

Malam ini baru berpeluang untuk menulis berkaitan isu ini. Tugasan dan kerja yang tidak putus  di maktab setiap hari membantutkan niat yang ada. Hari ini juga merupakan hari yang panjang di maktab, namun tidak di nafikan juga menjadi hari bersejarah kepada semua warga maktab terutama nya guru-guru. Selepas berhempas pulas selama dua tahun, hari ini adalah untuk menuai hasilnya. Tarikh keluarnya keputusan peperiksaan SPM pada tanggal 21 Mac 2013 akan menjadi satu sejarah dan bakal dibualkan untuk jangka masa yang panjang. Guru-guru tidak putus-putus memasuki bilik Unit Penilaian dan Peperiksaan Maktab (UPPM) untuk melihat keputusan peperiksaan anak-anak didik mereka, tidak kurang juga yang merasa bimbang jika ada anak didik mereka yang tidak mencapai matlamat yang telah di sasarkan. Namun, bila keputusan dikeluarkan, tiada apa yang lebih menggembirakan guru-guru apabila melihat kejayaan anak-anak didik. Seorang guru, telah mengucapkan terima kasih kepada pelajar-pelajarnya kerana menghadiahkan semua A kepadanya. Seorang guru lain pula selaku guru kanan menitiskan air mata apabila subjeknya mendapatkan 100% A. Ada juga guru yang merasa sedih apabila turunnya peratus keseluruhan subjeknya. Dan kegembiraan ini di rasai oleh semua guru sama ada yang mempunyai kelas peperiksaan yang berkaitan ataupun tidak serta di kongsi bersama dengan staf sokongan.

Bagaimana pula ini berkaitan dengan isu yang ingin dibincangkan iaitu bagaimana pengetua memimpin guru tanpa menggunakan kuasa dan kedudukan? Saya berpendapat ianya disebabkan setiap guru telah pun mempunyai rasa yang mendalam terhadap pelajar-pelajarnya. Segala aktiviti-aktiviti yang dirancang untuk pelajar dilaksanakan  dengan penuh "passion" untuk para pelajar tanpa berkira.  Semua aktiviti yang dirancang pula sama ada berbentuk akademik dan bukan akademik di sokong sepenuhnya oleh staf-staf sokongan. Guru-guru tidak merasa terpaksa ataupun terbeban walaupun semua aktiviti-aktiviti berkenaan di  buat di hujung minggu. Semangat kerja berkumpulan merupakan amalan biasa di maktab sama ada di antara unit maupun antara jabatan. Aktiviti yang melibatkan kolaborasi yang melibatkan sekolah-sekolah luar juga berlaku untuk membentuk jalinan perhubungan serta perkongsian maklumat. "One for all and all for one" . Itulah yang mengambarkan maktab ini.  Bagaimana ini berlaku? Saya berpendapat ini kerana di sini adanya barisan pengetua dan mantan pengetua yang berkesan. Setiap pengetua yang hadir di sini sepanjang saya berkhidmat berjaya meninggalkan kesan yang menjadi amalan, dan ditambah baik apabila hadirnya pengetua yang seterusnya. 

Pengetua yang berkesan adalah pengetua yang mengamalkan kepimpinan instruksional. Menurut  Hallinger dan Murphy (1987) peranan pengetua dalam kepimpinan pengajaran yang meliputi tiga dimensi utama dan 11 fungsi kesemuanya. Dimensi pertama iaitu dimensi penakrifan matlamat dengan dua fungsi iaitu penentuan dan penyebaran matlamat sekolah. Dimensi kedua iaitu pengurusan program pengajaran dengan 3 fungsi dalamnya iaitu pencerapan dan penilaian pengajaran dan pembelajaran, pengurusan kurikulum dan pengawasan kemajuan pelajar. Dimensi terakhir ialah pemupukan iklim pengajaran dan pembelajaran dengan 6 fungsi iaitu penjagaan masa P&P, sokongan dalam aktiviti pengajaran, pemberian peneguhan kepada usaha guru, penggalakkan
perkembangan profesionalisme, penguatkuasaan dasar akademik dan pemberian insentif untuk pelajar.

Apabila dikonteksualkan dengan apa yang berlaku di maktab saya, hampir semua ciri-ciri di lengkapi sedikit demi sedikit oleh setiap pengetua yang berkhidmat di maktab ini. Matlamat sekolah di tentukan melangkaui apa yang boleh dijangka, merupakan satu perkara baru diperkenalkan oleh seorang mantan pengetua yang datang ke maktab ini pada akhir tahun 2000. Walaupun sukar diterima, namun pendekatan diplomasi yang digunakan membuatkan semua warga maktab akur pada masa itu. Hasilnya, walaupun setelah bertahun beliau meninggalkan maktab ini, guru-guru telah berubah di mana guru-guru berani untuk mencapai sesuatu yang diluar jangkauan serta sanggup menerima sebarang cabaran. Begitu juga bagaimana seorang lagi mantan pengetua yang pernah berkhidmat di mana beliau mementingkan pemupukan iklim pengajaran serta memberikan sokongan dalam aktiviti pengajaran. Beliau membuat penegasan agar guru-guru melaksanakan semua aktiviti dan program yang diatur untuk para pelajar dan meninggalkan urusan mencari bajet  kepada beliau untuk memikirkannya.  Beliau juga akan menghadirkan diri pada semua aktiviti yang dilaksanakan oleh guru-guru dan unit sama ada di dalam atau luar maktab.

Saya berpendapat seorang pengetua perlu menjaga kebajikan guru-guru dan tidak hanya mementingkan program sendiri kerana yang akan melaksanakan semua agenda itu adalah guru-gurusendiri. Komunikasi dua hala penting agar guru-guru boleh mendapat maklumat yang diperlukan dan jelas dengan matlamat yang ingin dicapai. Pengetua perlu tahu menghargai guru-guru dan mempunyai mempunyai EQ yang tinggi serta menjaga hubungan yang baik dengan guru-guru. Selain itu, pengetua perlu mempunyai sikap terbuka dan boleh dihampiri oleh guru-guru untuk sebarang masalah dan berkongsi pendapat bukan sahaja berkaitan dengan tugas rasmi maktab tetapi juga berkaitan dengan hal-hal lain. Kualiti yang ada pada pengetua seperti dinyatakan ini membolehkan pengetua mempimpin guru-guru tanpa menggunakan kuasa dan kedudukan.

Apa yang boleh dirumuskan, seorang pengetua boleh memimpin guru-guru dengan menggunakan cara diplomasi, mengamalkan kepimpinan instruksional, memahami keperluan dan kehendak guru -guru serta boleh menjadi penyokong bagi segala aktiviti yang dilakukan oleh guru-guru. 

No comments: