Salah
seorang penyelidik yang terkenal ialah Peter Mortimore yang telah membuat
rumusan terhadap hasil beratus-ratus buah penyelidikan tentang sekolah
berkesan. Mortimore (1995) telah mengutarakan rumusan tersebut dalam kertas
kerjanya "Key Characteristics of Effective Schools" yang telah dibentangkan
di Institut Aminudin Baki. Menurut Peter Mortimore, ciri-ciri-ciri sekolah berkesan adalah seperti berikut :
Ciri ini menekankan kepemimpinan sekolah yang tegas dan bertujuan. Sekolah-sekolah harus mempunyai pentadbir proaktif yang
menekankan permuafakatan dan persamaan tujuan yang mengusaha dan mengekalkan
proses memajukan sekolah. Seterusnya, ialah sama ada sekolah mengamalkan
pendekatan musyawarah, berkongsi tanggungjawab serta melibatkan guru dalam
membuat keputusan dan menekankan kepemimpinan ketua jabatan atau panitia. Ciri
ini juga menekankan sama ada pengetua sekolah sebenarnya seorang profesional
dan berilmu yang dapat menawarkan kepemimpinan kurikulum, merancang strategi
kurikulum, memantau kemajuan pelajar, serta sedar dan tahu apa yang berlaku di
dalam bilik darjah dan dapat membantu membaiki amalan dan kualiti pengajaran
dan pembelajaran.
(b) Perkongsian wawasan dan tujuan
Ciri ini bermaksud warga anggota sekolah mempunyai persamaan nilai dan tujuan
sekolah serta dapat berfungsi sebagai sebuah organisasi yang mantap. Ciri ini
juga merujuk pada pentadbiran sekolah yang mengamal tindakan pengurusan secara
konsisten, iaitu berdasarkan piawai disiplin yang ditentukan oleh sekolah, atau
guru menjadi model contoh. Ciri ini juga bermaksud tentang kewujudan
kesetiakawanan dan kerjasama antara warga sekolah serta penglibatan guru dalam
proses membuat keputusan.
(c) Persekitaran pembelajaran
Ciri ini bermaksud iklim sekolah ditentukan oleh wawasan, nilai dan tujuan.
Iklim sekolah yang baik sebenarnya dipengaruhi oleh suasana pembelajaran dan
keadaan sekolah yang tertib dan teratur dengan persekitaran kerja yang menarik,
tenang dan harmonis dalam suasana berorientasikan tugas, di samping wujudnya
disiplin kendiri dalam kalangan pelajar yang merupakan prasyarat bagi
pembelajaran berkesan.
(d) Tumpuan kepada proses pengajaran dan
pembelajaran
Ciri ini menampakkan tujuan utama sekolah, iaitu pengajaran dan pembelajaran
kerana keberkesanan sekolah bergantung kepada keberkesanan pengajaran di dalam
bilik darjah. Kajian menunjukkan ada perkaitan yang rapat di antara tumpuan
kepada pengajaran dan pembelajaran sekolah dengan keberkesanan guru. Kajian
juga menekankan sekolah patut memfokus pada kuantiti dan kualiti pengajaran dan
pembelajaran. Rumusan pelbagai kajian oleh Mortimore menunjukkan bahawa sekolah
harus memaksimumkan
masa belajar, meningkatkan penggunaan masa belajar, mengagih masa untuk
mata-mata pelajaran prioriti secara seimbang. Sebahagian besar masa guru
ditumpukan pada pembelajaran murid dan guru sangat prihatin dengan pelajaran
dan pembelajaran kognitif murid. Sekolah mengamalkan ketepatan masa belajar dan
mengurangkan gangguan dari luar bilik darjah. Sekolah juga begitu
menitikberatkan aspek-aspek ilmiah, mempunyai guru yang berpengetahuan mendalam
dalam kurikulum, dan bertumpukan penguasaan kemahiran-kemahiran asas.
e) Pengajaran yang bertujuan
Mortimore mendapati kualiti pengajaran sebagai inti pati sekolah berkesan, di
samping memiliki guru yang berkualiti. Ciri pengajaran bertujuan pula bermakna
perlu mempunyai organisasi yang efisien, tujuan yang jelas, pengajaran yang
berstruktur, dan amalan yang fleksibel.
f) Jangkaan kejayaan yang tinggi
Ciri ini bermaksud sekolah mempunyai jangkaan kejayaan yang tinggi dalam semua
bidang terhadap murid-murid mereka kerana rumusan kajian Mortimore menunjukkan
ada kaitan yang rapat di antara jangkaan kejayaan yang tinggi dan keberkesanan
pelajar. Guru didapati sangat aktif dalam membantu pelajar dan yakin dengan
pencapaian murid-murid. Guru juga sentiasa menzahirkan jangkaan mereka serta
berkeyakinan terhadap pelajar yang merangsang mereka untuk berjaya. Rangsangan
ini diberi melalui kata-kata pujian yang tekal.
(g) Pengukuhan yang positif
Mortimore mendapati pengukuhan positif dalam bentuk hadiah dan insentif menjadi
faktor penting bagi meningkatkan motivasi pelajar. Pentadbiran disiplin perlu
bersih dan adil. Disiplin yang baik berpunca daripada iklim sekolah yang
teratur, yakni yang berasaskan rasa kepunyaan dan keterlibatan. Disiplin yang
berkesan dapat mengekalkan suasana damai di sekolah. Di samping itu, guru juga
harus mendapat maklum balas segera tentang setiap tindakan yang dijalankan,
sementara kepada pelajar pula ganjaran atau hukuman perlu disegerakan selepas
setiap kebaikan atau kesalahan dilakukan.
(h) Memantau kemajuan
Berdasarkan maklumat kajian yang dikumpul oleh Mortimore, sekolah berkesan
sentiasa melakukan pemantauan terhadap kemajuan dan prestasi pelajar secara
teratur. Guru dapat menentukan sejauh mana tujuan sekolah telah dicapai.
Sekolah perlu memberi tumpuan kepada pelajar, ibu bapa dan tujuan persekolahan.
Sekolah juga hendaklah sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan
kemahiran guru dalam aspek-aspek penilaian dan kaedah mengajar yang terkini. Di
samping itu, sekolah perlu menegaskan kepada pelajar dan guru supaya mengambil
berat tentang kemajuan pelajaran.
(i) Hak dan tanggungjawab pelajar
Rumusan kajian Mortimore turut mendapati sekolah berkesan menekankan usaha
meningkatkan harga diri pelajar. Pelajar sepatutnya mengambil bahagian secara
aktif dalam pelbagai kegiatan di sekolah. Sehubungan itu, sekolah harus
merancang dan meletakkan tanggungjawab yang sesuai kepada mereka.
(j) Hubungan rumah-sekolah
Mortimore seterusnya menekankan tentang pentingnya hubungan rumah-sekolah bagi
meningkatkan keberkesanan sekolah. Kajian-kajian menunjukkan pentingnya
penglibatan ibu bapa dalam membantu anak-anak untuk menyelesaikan kerja-kerja
sekolah. Hubungan ini seterusnya dieratkan melalui lawatan ibu bapa ke sekolah
untuk berbincang tentang kemajuan anak-anak dengan guru di dalam bilik khas
yang disediakan, sementara pengetua pula mengukuhkan lagi hubungan ini melalui
dasar-dasar yang terbuka.
(k) Organisasi Pembelajaran
Rumusan kajian Mortimore seterusnya menunjukkan sekolah-sekolah berkesan
mempunyai organisasi pembelajaran yang menggalakkan guru dan staf am terus
meningkatkan ilmu profesional. Ke arah sekolah berkesan, pengurusan sekolah
harus mengadakan program perkembangan staf pada peringkat sekolah untuk
membantu guru dan staf meningkatkan mutu pengajaran di dalam bilik darjah.
No comments:
Post a Comment