Sistem peperiksaan umum di Malaysia pada
masa kini lebih berorientasikan kepada peperiksaan semata-mata di mana
pencapaian pelajar diukur berdasarkan jumlah A yang di dapati di dalam
peperiksaan akhir yang mengambil masa dua jam di dalam dewan peperiksaan.
Terdapat kekurangan pada sistem peperiksaan ini kerana ia tidak secara tepat
mengukur pencapaian pelajar sepanjang tempoh pembelajaran di sekolah. Misalnya
seorang pelajar yang cemerlang dan sentiasa mendapat markah dan keputusan yang
baik di dalam ujian dan peperiksaan yang dijalankan di sekolah bagaimanapun
mendapat keputusan kurang memuaskan kerana merasa gementar semasa menduduki
peperiksaan SPM.
Justeru itu, Kementerian Pendidikan
Malaysia telah merangka dan pada tahun 2011 telah melaksanakan sistem penilaian
yang baru sesuai dengan transformasi pendidikan yang mana antara inti patinya
mengurangkan peperiksaan pusat, memartabatkan guru dan sekolah, memberi
penekanan kepada aspek intelektual yang seimbang dari segi jasmani, rohani,
emosi dan sosial. Pelaksanaan sistem pentaksiran baru lebih menyeluruh kerana
ia menguji dari aspek kognitif, afektif dan psikomotor.
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
menggunakan pendekatan pentaksiran rujukan standard di mana pentaksiran ini
akan melihat perkembangan murid, prestasi murid dilaporkan berdasarkan pada
bukti (evidence) murid dan bukti(evidence) bahan. Bagaimanapun timbul persoalan
kepada guru-guru bagaimana untuk
melaksanakan Penilaian Berasaskan Sekolah ini sebagaimana dikehendaki
oleh pihak Kementerian Pendidikan. Oleh sebab itu, sebagai pengetua/guru besar
di sekolah perlu faham cara pentaksiran dilakukan untuk disebarkan kepada semua
guru-guru di sekolah kerana sebelum pelaksanaan ini dilakukan, guru-guru besar
telah dipanggil berkursus dan diberi taklimat cara pelaksanaan yang perlu
dilakukan di sekolah.
Sistem penilaian ini direka bagi mengukur
kebolehan pelajar secara holistik menilai aspek kognitif, afektif dan
psikomotor selaras dengan Falsafah Pendidikan Malaysia bagi menggantikan format
penilaian yang berorientasikan peperiksaan semata-mata yang mana bersifat
sumatif dan tidak menggambarkan secara keseluruhan kebolehan seseorang pelajar
itu. Pentaksiran berasaskan sekolah
(PBS) merupakan sebahagian dari lima komponen utama dalam pelaksanaan Sistem
Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) yang dilaksanakan oleh Kementerian
Pendidikan menjelang tahun 2011.
Selain Pentaksiran Berasaskan Sekolah
(PSB) yang termasuk di dalam komponen pentaksiran pusat, terdapat
komponen-komponen lain yang seperti Pentaksiran Sekolah, Peperiksaan Pusat, Pentaksiran
Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum serta Pentaksiran Psikometrik. Secara
kesimpulannya boleh dikatakan penilaian berasaskan sekolah yang telah
dilaksanakan ini diharap dapat membentuk modal insan yang seimbang dari segi
jasmani, rohani, emosi, kognitif dan sosial.
Di dalam konteks MRSM pula, PBS ini
merupakan sesuatu yang baru kerana hanya MRSM yang mempunyai tingkatan 1 sahaja
yang telah melaksanakan PBS ini. Bagi maktab saya pula, yang hanya mempunyai
pelajar tingkatan 4 dan 5 , tidak dapat menghayati apakah itu PBS sebenarnya
dan kebanyakan guru-guru di maktab saya masih lagi di dalam peringkat hanya
mengetahui secara umum sahaja. Mungkin apabila kami menerima pelajar tingkatan
4 pada tahun 2016, kami akan merasa dan mengalami apa yang dinamakan PBS itu. Ketika itu, adakah kami akan bersedia? Masa yang akan menentukan...bagaimanapun guru-guru yang berkesan adalah bersifat fleksibel dan mampu menangani apa sahaja perubahan yang mendatang
No comments:
Post a Comment