Sepetang bersama Prof Dr James Spillane di dalam seminar yang bertajuk Distributed Leadership : Rethinking School Improvement oleh Prof James P.Spillane bertempat di Fakulti Undang-undang Universiti Malaya pada 18 Mac 2013 lepas memberikan input tentang Distributed Leadership. Apabila membincangkan tentang Distributed Leadership, tidak dapat lari dari membincangkan tentang kepimpinan guru. Sebelum ini saya hanya berpendapat Distributed Leadership lebih kepada mengupayakan kuasa kepada pemimpin pertengahan seperti timbalan-timbalan pengetua dan ketua-ketua jabatan. Tetapi sebenarnya Distributed Leadership ini adalah untuk semua guru-guru kerana kita semua ini adalah pemimpin kepada anak-anak didik di dalam kelas.
Konsep kepimpinan guru adalah proses pemimpin itu menggunakan keupayaannya bagi mempengaruhi kumpulannya dalam menggerakkan mereka ke arah pencapaian matlamat yang ditetapkan secara bersama. Dalam konteks ini, kumpulan yang di maksudkan adalah pelajar-pelajar di dalam kelas kita. Guru-guru perlu berusaha untuk menambahkan kebolehan dalam bidang mereka masing-masing di mana guru-guru merupakan pakar rujuk di samping memperkembangkan personaliti diri bagi menarik perhatian pelajar-pelajar yang ingin dipengaruhi selain mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan berketrampilan dan berpersonaliti yang menarik.
Oleh kerana besarnya kuasa dan pengaruh guru di dalam kelas, setiap guru perlu berani mencuba strategi dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang lebih berani di sekolah. Guru perlu bertindak sebagai pemudahcara di mana mengalakkan pengupayaan kepada pelajar bagi membantu guru, memberi kuasa dan percaya kepada pelajar di dalam menjalankan tugas, bersifat fleksibel dan mementingkan semangat berpasukan. Di dalam konteks pendidikan kini terutama apabila ingin melaksanakan penambahbaikan sekolah, di dalam konteks bilik darjah, pelajar-pelajar tidak semestinya hanya duduk diam dan hanya menerima input dari guru, sebaliknya pelajar-pelajar ini dibolehkan bergerak bebas dan berbincang dengan rakan sebaya di mana guru bertindak sebagai pemudahcara dan memantau agar kelakuan mereka tidak menyimpang dari objektif pengajaran dan tidak menghalang proses pengajaran dan pembelajaran.
Dari pemerhatian dan juga cubaan yang telah saya lakukan di dalam kelas ICT, apabila mereka diminta di dalam kumpulan untuk membentangkan satu topik, dapat saya simpulkan bahawa pelajar-pelajar sebenarnya lebih kreatif apabila diminta untuk membuat kerja berkumpulan, dan mampu memberi lebih dari apa yang dijangkakan. Penglibatan mereka adalah menyeluruh kerana mereka sendiri terlibat di dalam proses pengajaran dan pembelajaran itu, dengan menentukan cara mereka sendiri untuk belajar. Mereka masing-masing mampu menarik perhatian rakan-rakan sekelas dan pembelajaran itu sendiri menjadi aktif. Saya sebagai guru pula hanya perlu memberikan garis panduan serta memberikan bimbingan apabila timbul kekeliruan dan kekaburan di dalam proses berkenaan di samping memberikan input tambahan dan menerangkan dengan jelas terma yang mereka kurang faham.
Kesimpulannya di dalam penambahbaikan sekolah, guru juga perlu berubah selaras dengan perubahan yang berlaku di dalam pendidikan. Walaupun kadang kala perubahan itu adalah sesuatu yang sukar dan berat, tetapi guru mampu untuk melakukannya jika mempunyai keyakinan yang kuat dan berani menempuh kegagalan sebelum mencapai kejayaan.
Kesimpulannya di dalam penambahbaikan sekolah, guru juga perlu berubah selaras dengan perubahan yang berlaku di dalam pendidikan. Walaupun kadang kala perubahan itu adalah sesuatu yang sukar dan berat, tetapi guru mampu untuk melakukannya jika mempunyai keyakinan yang kuat dan berani menempuh kegagalan sebelum mencapai kejayaan.
No comments:
Post a Comment