![]() |
Sekolah berkesan memerlukan pengetua yang berkesan. Kecemerlangan sesebuah sekolah banyak bergantung kepada kepimpinan seseorang pengetua. Pengetua sentiasa disifatkan sebagai pemimpin sekolah kerana kedudukan dan jawatannya yang berwibawa. Oleh itu pengetua mempunyai kuasa, autoriti dan tanggungjawab untuk melaksanakan visi dan matlamat pendidikan.
Peranan pengetua adalah pelbagai. Pengetua perlu berfungsi sebagai pemimpin pengajaran dan juga pentadbir sekolah. Sebagai seorang pengurus pendidikan, tanggungjawab utama pengetua ialah menjalankan kerja-kerja pentadbiran dan sekali gus bertindak sebagai pemimpin pengajaran dan pembelajaran. Amalan pengurusan yang dijalankan adalah meliputi fungsi pengurusan seperti membuat rancangan, mengorganisasikan, mengetuai dan mengawal, terutama sumber manusia, kurikulum, kokurikulum, perkembangan staf, kewangan, persekitaran dan sebagainya.
Secara ringkasnya, seorang pengetua berperanan di dalam bidang berkenaan iaitu :
a) Kepimpinan instruksional P & P
b) Kepimpinan kurikulum
c) Pengurusan kewangan
d) Pengurusan asrama
e) Pembangunan kompetensi guru dan staf
f) Pengurusan disiplin pelajar
g) Penilaian prestasi
h) Hubungan dengan sekolah lain dan komuniti setempat
Peranan yang dinyatakan di atas juga meliputi tugas-tugas sebagai pentadbir, pengurus, pemimpin dan pendidik. Beberapa kriteria pengetua yang dianggap baik antaranya ialah seorang yang mempunyai kesungguhan dalam tugas, mempunyai visi ke arah mencapai matlamat serta, berkemampuan tinggi dalam mencapai kemajuan akademik, berwawasan, bercita-cita tinggi, berusaha ke arah menepati hala tuju organisasi serta kental dalam menghadapi cabaran adalah antara keperluan kendiri yang perlu ada pada seorang pengetua.
Seorang pemimpin sekolah yang baik perlu mempunyai ciri-ciri seorang yang mempunyai matlamat
yang jelas yang ingin dicapai, berintegriti, menggalakkan dan menyokong guru dan staf sokongan di bawahnya, memberi inspirasi, menunjukkan contoh dan teladan yang baik, mempunyai komunikasi yangjelas, memberikan pengiktirafan kepada guru-guru, menfokoskan kepada keperluan guru-guru dan staf dibawahnya, boleh merangsang guru-guru untuk bekerja dengan lebih tekun dan gigih serta mempunyai pengharapan dan jangkaan yang tinggi kepada guru-guru dan staf sokongan di bawahnya.
No comments:
Post a Comment