Penambahbaikan sekolah dilihat sebagai salah satu pendekatan dalam melakukan perubahan dalam pendidikan melalui pelaksanaan objektif jangka panjang. Ianya juga didefinisikan sebagai pendekatan menghadapi perubahan pendidikan yang dapat meningkatkan prestasi pelajar dalam dan menguatkan kapasiti sekolah dalam mengendalikan perubahan. (Abdul Ghani Abdullah, Kepimpinan dan penambahbaikan Sekolah)
Di dalam konteks MRSM, penambahbaikan sekolah adalah perkara yang perlu dilakukan secara berterusan. MRSM secara umumnya menerima pelajar-pelajar yang mempunyai kebolehan di dalam bidang akademik dan seterusnya pelajar-pelajar ini diberikan kemahiran generik seperti kemahiran berfikir, kemahiran amalan belajar, ICT, keusahahawan dan sebagainya. Ini merupakan antara usaha bagi melahirkan pelajar yang seimbang dari jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial mengikut Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Salah satu penambahbahbaikan yang telah pun dilaksanakan di MRSM Tun Ghafar Baba diantaranya adalah memperkenalkan pelajar- pelajar kepada penyelidikan ( R & DI). Program ini telah dilaksanakan pada tahun 2010 merupakan kesinambungan dari program SEM (School Enrichment Model) yang dijalankan di maktab pada setiap tahun. Program ini merupakan platform bagi pelajar untuk memperkembangkan lagi di mana projek-projek sains (Kimia, Fizik, Biologi) , sains komputer dan rekacipta yang mempunyai potensi untuk diketengahkan dengan menggalakkan pelajar-pelajar membuat penyelidikan lanjut dengan bantuan universiti-universiti tempatan. Seterusnya, projek-projek ini di hantar untuk menyertai pertandingan di luar negara. Pihak maktab telah memberikan sokongan kepada jawataankuasa R & DI dengan menyediakan sebuah pusat R & DI sekolah dan membantu dari segi kewangan di dalam melaksanakan program ini.
Hasilnya adalah amat menggalakkan di mana ramai kumpulan pelajar dari maktab ini telah memenangi pingat sama ada emas, perak atau gangsa pertandingan luar seperti I-SWEEP (Texas) , INEPO (Turki) dan INEPO Euroasia (Azerbaijan) , Infomatrix (Romania), ESI, dan lain-lain lagi. Apa yang penting bagi saya ialah bagaimana semua ini boleh memberikan pelajar-pelajar pengalaman untuk melakukan penyelidikan, di mana sepanjang proses yang berlaku ini sebenarnya merupakan satu proses pembelajaran bagi pelajar-pelajar yang tidak akan mereka jumpa di dalam bilik darjah.
No comments:
Post a Comment