Inspiring Quotes, Inspiration Quotes, Inspiring Sayings

Wednesday, April 24, 2013

Keberkesanan sekolah dari segi perbelanjaan pendidikan bagi seorang pelajar MRSM


Keberkesanan sekolah dari segi perbelanjaan pendidikan bagi seorang pelajar
by Dr. Zuraidah Binti Abdullah . - Monday, 25 March 2013, 10:08 AM

Bagaimana anda dapat mengukur perbelanjaan yang telah diberikan oleh pihak Mara kepada pelajar2 MRSM? Adakah perbelanjaan yang diberikan itu telah dapat menghasilkan kualiti pendidikan yang tinggi kepada negara? 

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 dan Pelan Pembangunan Pendidikan  (2013-2025) adalah antara pelan jangka panjang yang telah disediakan oleh kerajaan bagi menghasilkan pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia bagi menghasilkan modal insan yang boleh bersaing dengan pelajar-pelajar dari luar negeri. Hal ini juga tidak terkecuali bagi pihak MARA yang bertanggungjawab sepenuhnya memberikan pendidikan yang terbaik kepada pelajar-pelajar MRSM. Selaras dengan hasrat kerajaan, MARA melalui MARA, The Way Forward telah menggariskan langkah-langkah yang ingin dicapai bagi melahirkan modal insan berkualiti tinggi di samping mempunyai sifat keusahawanan di mana pelajar-pelajar ini bukan sahaja boleh menjana ekonomi dengan menjawat jawatan yang penting malahan mereka bakal boleh membuka peluang pekerjaan kepada orang lain. Justeru itu tidak hairanlah MARA telah mengeluarkan belanja yang sangat besar kepada pelajar-pelajar MRSM bagi mencapai hasrat MARA ini. 

MRSM pada awal penubuhan mempunyai agenda untuk meningkatkan bilangan profesional melayu pada era 70an. Ini selaras dengan agenda kerajaan yang ingin merapatkan jurang ekonomi di antara bumiputera dan bukan bumiputera pada masa itu. Selain itu juga ingin melahiran ramai usahawan bumiputera yang boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain. Sehingga kini pendidikan MRSM masih lagi releven di mana buktinya jumlah MRSM di seluruh Malaysia telah bertambah sehingga 48 buah pada masa kini.  Banyak program-program yang berbentuk akademik, bukan akademik, program berbentuk keusahawanan, di samping kurikulum terbeza di mana adanya kurikulum untuk Program Khas Pendidikan, kurikulum Ulul Albab, kurikulum IGCSE, smart school dan sebagainya yang mana kesemuanya di bangunkan untuk menghasilkan pelajar-pelajar yang cemerlang bukan sahaja dari segi akademik, tetapi juga dari segi sahsiah, jasmani, sosial dan kerohanian. Ini terbukti setiap kali keputusan PMR dan SPM , MRSM sentiasa berada di hadapan walaupun kejayaan itu jarang dipaparkan di dada akhbar. Namun itu semua tidak menjadi kudis malah memberikan semangat kepada warga MRSM untuk terus  maju dan cemerlang.

Bilangan MRSM yang semakin bertambah di mana kini berjumlah 48 buah menunjukkan MRSM telah menjadi pilihan pendidikan oleh ramai ibu bapa yang kini semakin "demanding" di dalam menentukan hala tuju pendidikan anak mereka masing-masing. Pelbagai aktiviti terkini seperti program-program pengantarabangsaaan, program -program berbentuk khidmat masyarakat di terapkan kepada jiwa anak-anak MARA agar dapat mengasah bakat kepimpinan di samping emosi dan rohani agar mempunyai jiwa dan sahsiah yang cemerlang seiring dengan kecemerlangan di dalam bidang akademik. Pendidikan kerohanian juga diterapkan di mana pelbagai program berbentuk kerohanian dilaksanakan di asrama bagi menyiapkan pelajar menghadapi dunia luar yang sangat kompleks. Saya yakin ibu bapa sedar dengan jumlah yuran yang dibayar oleh ibu bapa  sebenarnya amat berbaloi kerana anak-anak ini mendapat begitu banyak manfaat di mana mereka membentuk sahsiah dan jati diri di MRSM apabila mereka meneruskan pengajian tinggi di luar negara nanti.

Melalui program Skim Pelajar Cemerlang (SPC), mungkin telah berbilion ringgit Malaysia yang telah dibelanjakan kepada pelajar-pelajar ini melanjutkan pelajaran di universiti-universiti terkemuka dunia sama ada di United Kingdom, Russia, US, Ireland dan banyak lagi. Kesemua perbelanjaan yang dikeluarkan ini adalah berbaloi untuk menjayakan  pendidikan bermutu yang mana pada akhirnya, masyarakat bakal mendapat pulangan hasil yang lebih tinggi termasuk penjimatan kos pengurusan negara. Negara maju yang ingin dicapai hanya boleh diperoleh dengan melahirkan ramai modal insan yang berkualiti tinggi yang dapat memacu ekonomi negara supaya setara dengan negara-negara maju yang lain. Mereka inilah diharapkan apabila kembali ke negara Malaysia kelak dapat menjana ekonomi negara dengan kepakaran yang mereka peroleh serta membina negara Malaysia menjadi negara maju. Jika ini berlaku, saya berpendapat perbelanjaan yang dikeluarkan oleh MARA adalah berbaloi kerana berupaya menghasilkan kualiti pendidikan yang tinggi di Malaysia. 


No comments: