Inspiring Quotes, Inspiration Quotes, Inspiring Sayings

Monday, May 6, 2013

Ulasan Artikel 5 : Model Hubungan Sekolah Dan Komuniti Bagi Peningkatan Proses Pengajaran dan Pembelajaran


Ulasan Artikel 5 : Model Hubungan Sekolah Dan Komuniti Bagi Peningkatan Proses Pengajaran dan Pembelajaran : Satu Cadangan oleh Ahmad Zabidi Abdul Razak dan Mariani Md Nor, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya.

Pendahuluan
Kejayaan pengurusan sesebuah sekolah bukan sahaja  bergantung pada kekuatan sumber manusia dan sumber yang terdapat di sekolah malah melibatkan komuniti setempat. Pengkaji mendapati kerja sama yang erat antara sekolah dan masyarakat akan meningkatkan kejayaan proses pengajaran pembelajaran di sekolah. Jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengenal pasti salah satu aspek yang penting dalam peningkatan taraf pelajaran di Malaysia ialah melalui kerjasama masyarakat dalam pembangunan sekolah. Penubuhan PIBG  melalui Akta Pendidikan 1996 menunjukkan pentingnya peranan komuniti bagi membantu kecemerlangan sekolah.

Ulasan Kajian
Kajian ini bertujuan untuk membincangkan signifikan hubungan di antara sekolah dengan komuniti. Pengkaji mendapati amat penting untuk sekolah melaksanakan hubungan di antara sekolah dan komuniti. Bagaimana pun terdapat cabaran di dalam melaksanakan konsep hubungan sekolah dan komuniti. Penglibatan ibu bapa dalam aktiviti sekolah amat terhad kepada projek-projek kecil seperti gotong-royong dan mengutip derma. Ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti tekanan kerja dan masalah kewangan yang lebih penting dari keperluan emosi dan pelajaran anaknya menyebabkan tidak semua ibu bapa boleh menghabiskan masa melibatkan diri dengan aktiviti di sekolah.

Kertas ini juga telah mengutarakan Model Penglibatan Ibu Bapa oleh Hoover-Dempsey dan Sandler (1995, 1997).  Model ini mengenal pasti tiga faktor kritikal dalam menentukan penglibatan ibu bapa iaitu
       a.       Kepercayaan ibu bapa tenang keperluan merekan melibatkan diri dalam pendidikan 
              anak-anak mereka
       b.      Efikasi kendiri ibu bapa – mereka mempunyai pengetahuan dan kemahiran
       c.       Sikap terbuka sekolah terhadap ibu bapa.

Model ini menunjukkan hubungan sekolah dan komuniti dapat diwujudkan sekiranya pihak pengurusan sekolah dapat memastikan agar pihak guru dan ibu bapa saling memahami perasaan di antara satu sama lain bagi mewujudkan hubungan harmoni. Masalah berkaitan sekolah dan ibu bapa perlu diatasi bagi memudahkan pihak sekolah dan ibu bapa berkomunikasi dengan berkesan bagi mencapai tujuan bersama iaitu memastikan kejayaan anak-anak di dalam pelajaran.
Menurut Berger (1983), terdapat 5 kumpulan ibu bapa yang perlu diketahui oleh pihak sekolah iaitu:
      a.       Ibu bapa mengelak dari sekolah
      b.      Ibu bapa perlu galakan untuk datang ke sekolah
      c.       Ibu bapa sukarela datang jika dijemput
      d.      Ibu bapa komited dan berasa seronok melibatkan diri
      e.       Ibu bapa suka menonjolkan kuasa dan pengaruh di sekolah

Berdasarkan itu, pihak pengurusan sekolah harus memainkan peranan sebagai “morale builder program designer and program coordinator” dengan mengamalkan dasar pintu terbuka, menyediakan bilik pertemuan dengan ibu bapa, menyelaras mesyuarat dan bengkel dengan ibu bapa, dan  memberikan sokongan kepada PIBG.  Para guru boleh bertindak sebagai fasilitator, kaunselor, penyelaras program dan sumber serta kawan kepada ibu bapa. Kedua pihak ibu bapa dan guru perlu bersikap terbuka dalam usaha bagi memperbaiki keputusan anak dan murid masing-masing. Dengan menjemput ibu bapa ke sekolah membolehkan komunikasi dua hala yang efektif berlaku dan seterusnya mewujudkan kerjasama dan respon dari pihak ibu bapa.

Kesimpulan
Rumusannya, bolehlah dikatakan pengenalan model hubungan sekolah dan komuniti ini adalah merupakan cadangan bagi pertukaran  idea serta perkongsian bijak antara pihak sekolah dan ibu bapa bagi faedah bersama.

Sunday, May 5, 2013

Ulasan Artikel 4 : Kepimpinan pendidikan berkesan


Ulasan Artikel 4 : Kepimpinan pendidikan berkesan oleh Baharom Mohamad, Mohamad Johdi Salleh dan Che Noraini Hasyim, Fakulti Pendidikan Teknikal, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan International Islamic Universiti Malaysia (IIUM).

Pendahuluan
Dunia pendidikan yang berubah mengikut perubahan dunia global menyebabkan institusi pendidikan berubah mengikut keadaan semasa. Sekolah bergerak ke arah yang lebih baik di mana penambahbaikan yang dilakukan bertujuan untuk menjadikan sesebuah sekolah berkesan. Oleh sebab itu, institusi pendidikan juga memerlukan kepimpinan yang berkesan. Kepimpinan yang berkesan bermaksud seseorang pengetua berupaya mempengaruhi tingkah laku para guru, pelajar dan kakitangan sekolah untuk menerima kepimpinannya ke arah pencapaian matlamat sekolah. Peranan kepemimpinan pengetua telah diketahui sangat penting bagi sekolah berkesan dan di dalam artikel ini akan dibincangkan pendekatan-pendekatan di dalam teori kepimpinan yang boleh digunakan untuk menjadikan seseorang pemimpin itu berkesan.

Ulasan Artikel
Kajian ini menerangkan kepada kepentingan pengetua bagi menghasilkan pelajar yang cemerlang. Beberapa pendekatan di dalam teori kepimpinan yang dibincangkan di mana di antaranya ialah Teori Sifat iaitu dengan mengenal pasti sifat personaliti seseorang pemimpin. Teori Gelagat pula menerangkan gelagat seorang pemimpin manakala teori kontingensi mencadangkan model kontingensi untuk mengatasi kelemahan pendekatan terdahulu dan mengambil kira penemuan penyelidikan. Kajian Universiti Michigan memperkenalkan dua dimensi gelagat kepimpinan iaitu orientasi pekerja yang mementingkan keperluan pekerja bawahan dan menerima perbezaan yang wujud di dalam kumpulan dan orientasi pengeluaran yang menekankan aspek teknikal untuk mencapai tugasan kumpulan. Model Fiedler mencadangkan prestasi kumpulan yang berkesan bergantung pada kesepadanan gaya kepimpinan dengan subordinat dan setakat mana keadaan itu memberi kawalan dan pengaruh kepada pemimpin. Fiedler mendapat pencapaian kumpulan adalah tinggi apabila terdapat gabungan perhubungan pemimpin-ahli yang baik, struktur tugas tinggi dan kuasa jawatan dan kepimpinan berorientasikan tugas.

Pendekatan kepimpinan yang terdiri dari teori kepimpinan atribusi yang mana pengikut mempunyai persepsi tertentu tentang pemimpin mereka, teori kepimpinan karismatik, kepimpinan jenis pelaksanaan di mana pemimpin memberi motivasi kepada pengikut mereka ke arah mencapai objektif dengan memberi penjelasan tentang peranan dan keperluan sesuatu tugas. Kepimpinan jenis transformasi pula memberi inspirasi kepada pengikutnya mengatasi kepentingan diri sendiri demi kepentingan organisasi dan berkebolehan memberi kesan yang mendalam dan luar biasa kepada pengikutnya. Kepimpinan instruksional pula merupakan pendekatan kepimpinan yang memberi penekanan kepada tingkah laku guru dan aktiviti-aktiviti yang memberi kesan kepada perkembangan pelajar. Menurut Hallinger dan Murphy (1987), melalui kerangka kepimpinan instruksioanal terdapat tiga dimensi yang iaitu mendefinisi misi sekolah, mengurus kurikulum dan pengajaran serta mempromosikan iklim pembelajaran sekolah.

Penutup/Kesimpulan
Berdasarkan pendekatan teori-teori kepimpinan pendidikan yang dibincangkan, pengetua yang berkesan perlu mempunyai kesedaran yang tinggi dan mempunyai jiwa yang kuat serta bercita-cita tinggi dan sentiasa mencari idea-idea baru untuk meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan. Pemimpin yang berkesan harus mempunyai ciri-ciri seperti kepintaran, kejujuran dan integriti, berpengetahuan dalam bidang, keyakinan diri, dorongan kepimpinan serta semangat yang tinggi.